Media & Events

Perkembangan Semasa Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Bagi Menjawab (Cont')

23 Jun 2021
PERKEMBANGAN SEMASA PELAKSANAAN PELAN JALINAN DIGITAL NEGARA (JENDELA) BAGI MENJAWAB PERTANYAAN AHLI PARLIMEN LEDANG
 
Susulan kenyataan oleh Ahli Parlimen Ledang, yang meminta agar perkembangan terkini pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) diperjelaskan, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sukacita ingin memaklumkan bahawa pelaksanaan JENDELA yang bermula sejak September 2020 adalah seperti yang dirancang.

Sepanjang tempoh 10 bulan lalu, dua (2) Laporan Suku Tahun JENDELA yang memperincikan mengenai perkembangan dan kemajuan terkini pelaksanaan JENDELA telah diterbitkan, masing-masing pada 31 Disember 2020 dan 31 Mac 2021. Laporan Suku Tahun JENDELA yang ketiga dijadualkan akan diterbitkan pada 30 Jun 2021.

Intipati Laporan Suku Tahun JENDELA yang pertama, setakat 31 Disember 2020 melaporkan, sejumlah 456,757 premis telah dilIputi dengan jalur lebar tetap berbanding dengan sasaran awal iaitu 352,101 premis. Selain itu, sebanyak 876 tapak baharu telah didirikan berbanding dengan sasaran sebanyak 940. Manakala sebanyak 16,367 menara sedia ada telah dinaik taraf berbanding dengan sasaran awal iaitu 16,214.

                   
Laporan Suku Tahun JENDELA yang kedua setakat 31 Mac 2021 pula melaporkan, sejumlah 292,826 premis telah diliputi dengan jalur lebar tetap berbanding dengan sasaran awal iaitu 221,539 premis. Selain itu, 29 tapak baharu telah didirikan setakat ini berbanding sasaran awal sebanyak 25 tapak manakala 3,278 menara sedia ada telah dinaik taraf jika dibandingkan dengan sasaran 3,223 menara. Liputan 4G telah ditingkatkan kepada paras 93.51% berbanding 92.03% pada suku sebelumnya. Secara keseluruhannya, 5.7 juta premis telah diliputi dengan gentian optik setakat 31 Mac 2021.
 
Kedua-dua Laporan Suku Tahun berkenaan boleh dilayari di laman sesawang myJENDELA di pautan: https://myjendela.my/Pencapaian .

Sementara itu bagi tahun 2021, pelan JENDELA telah menyasarkan perkara-perkara berikut:
  1. Melaksanakan penyambungan gentian optik kepada 1,245,452 premis tambahan;
  2. Menaik taraf 12,499 stesen pemancar sedia ada kepada teknologi 4G untuk peluasan liputan dan peningkatan kelajuan merangkumi perancangan di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagar (USP) dan Komersial;
  3. Membina 193 tapak menara komunikasi baharu (komersial); serta
  4. Menamatkan rangkaian 3G dan pemindahan spektrum bagi penggunaan teknologi 4G sekaligus meningkatkan kelajuan perkhidmatan.
Maklumat ini juga dipaparkan untuk rujukan orang ramai di laman sesawang myJENDELA di pautan: https://myjendela.my .

Bagi kawasan yang kurang berpenduduk di kawasan pedalaman, turut dilaksanakan adalah pemasangan dan penyediaan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) di 839 lokasi bagi meningkatkan liputan Internet. Dilaksanakan di lapan (8) buah negeri iaitu Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak, perkhidmatan tersebut yang dijangka siap dilaksanakan menjelang Oktober 2021 akan berfungsi sebagai penyelesaian jangka pendek yang cepat.  

Bagi tahun 2022 pula, perancangan pelaksanaan JENDELA akan melibatkan sasaran-sasaran untuk menyambung gentian optik kepada 929,631 premis tambahan dan pembinaan sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pihak MCMC maklum bahawa masih terdapat banyak aduan, terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Bagi aduan yang boleh dibantu dengan penyelesaian sementara jangka pendek, ianya dilaksanakan dengan kadar segera. Manakala, aduan yang tidak dapat disediakan penyelesaian jangka pendek, penerangan diberi untuk membantu pengadu memahami perancangan yang disediakan. Masyarakat juga dimaklumkan tentang Pusat Internet Komuniti (PIK) yang sedia ada yang juga memberi kemudahan untuk capaian Internet secara berkelompok.

Pihak MCMC sentiasa memberi makluman kepada masyarakat melalui pelbagai cara seperti, televisyen, radio, media cetak, media dalam talian dan juga media sosial yang rasmi. Melangkah ke hadapan, MCMC terus komited dalam menjayakan pelaksanaan pelan JENDELA dan penambahbaikan kesalinghubungan.

PDF
Share this article
Follow