Media & Events

Panggilan Kertas Cadangan Geran Kajian Masyarakat Digital (DSRG)

23 Aug 2021
CYBERJAYA, 23 Ogos 2021 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempelawa penyelidik untuk mengemukakan kertas cadangan di bawah program Geran Kajian Masyarakat Digital (DSRG).

Geran DSRG yang dilancarkan pada Julai 2020 lalu bertujuan membina kajian berasaskan bukti yang diperlukan untuk mempromosi dan menambah baik kefahaman mengenai faktor manusia dan sosial, yang mempengaruhi dan menyumbang kepada penggunaan serta pengamalan teknologi dan perkhidmatan digital.

Menerusi geran ini, MCMC mencari kombinasi projek penyelidikan secara terbuka dan terpimpin bagi memperjelaskan jurang kawal seliaan dan pembangunan, serta mencadangkan tindakan yang bersesuaian. Dua (2) bidang kajian yang diberi tumpuan adalah Warga Digital dan Kesejahteraan Siber serta Keterangkuman Digital yang mana kedua-duanya berkait rapat dengan bidang keutamaan pembangunan sosioekonomi digital iaitu perkhidmatan digital, e-dagang, Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), identiti dan keselamatan digital serta isu privasi.

Bagi bidang kajian berkenaan dengan Warga Digital dan Kesejahteraan Siber, ia bermatlamat untuk memperjelaskan jurang yang mempengaruhi penyertaan, penggunaan positif dan kesejahteraan dalam dunia yang kian bergantung kepada teknologi digital. Manakala bagi bidang kajian berkenaan dengan Keterangkuman Digital pula, ia bertujuan untuk memperjelaskan jurang berkaitan faktor-faktor yang menghalang kesaksamaan akses bagi memastikan tidak ada sesiapa yang dinafikan haknya untuk menikmati manfaat kesalinghungan digital.

Sebanyak enam (6) tajuk telah dikenal pasti oleh MCMC di bawah dua (2) bidang kajian tersebut bagi Panggilan Kertas Cadangan Kitar 2 – 2021 dan tajuk-tajuk yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:

i. Hak dan Perlindungan Pengguna untuk Pelanggan Perkhidmatan Telekomunikasi melalui Penyediaan Kerangka Pampasan Automatik
ii. Memahami Aspek Tingkah Laku Buli Siber dan Intervensi untuk Mangsa, Pelaku, Ibu Bapa dan Pihak Berkepentingan
iii. Keberkesanan Inisiatif dan Penguatkuasaan Undang-Undang dalam usaha menangani, mengurus dan mengatasi penyebaran berita palsu berkaitan pandemik COVID-19
iv. Analisis Jurang Kompetensi Industri Komunikasi dan Multimedia (C&M)
v. Kesan Inisiatif Akses Internet dan Kebolehaksesan bagi memenuhi keperluan pelajar dalam kategori M40 dan B40 sepanjang tempoh langkah pencegahan COVID-19
vi. Kajian Impak Program Klik Dengan Bijak (KDB)

Dalam melaksanakan kajian-kajian tersebut, MCMC berganding bahu dengan pihak penyelidik yang memberi input berguna dan kaedah soal selidik yang digunakan. Penglibatan MCMC dalam kajian-kajian ini membolehkannya untuk terus membuat keputusan berdasarkan data dan bukti dalam pengurusannya.

Panggilan kertas cadangan DSRG ini akan ditutup pada hari Rabu, 8 September 2021, pukul 5.00 petang.

Untuk maklumat lanjut berhubung panggilan kertas cadangan tersebut, sila layari pautan seperti yang tertera di bawah: https://www.mcmc.gov.my/en/grants/2021-digital-society-researchgrant-call-for-propo



PDF

Share this article
Follow