Pusat Media

Video Dalam Talian Dan Suara Catatkan Pertumbuhan Terbesar Dalam Aktiviti Internet Pada 2018!

11 Jan 2019
CYBERJAYA, 11 Januari 2019 --- Dalam nada yang sama seperti lagu “Video killed the radio star” pada tahun 1979, pada 2018, video dan panggilan suara melalui aplikasi pemesejan sosial bakal mengambil alih peranan panggilan suara tradisional dengan pengguna Internet di Malaysia meningkatkan panggilan-panggilan dalam talian hampir 30% pada 2018 berbanding pada 2016. Dengan data kini menjadi semakin mampu dimiliki, trend tersebut dijangka menjadi satu norma, menurut Kajian Pengguna Internet 2018 (IUS 2018) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.

Sejumlah 87.4% penduduk di Malaysia kini menggunakan Internet berbanding 76.9% pada 2016. Ketika ini, purata dunia adalah 51.2% seperti yang dilaporkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dalam Measuring the Information Society Report 2018.

Dua tahun yang lalu, Malaysia dilaporkan mempunyai bilangan akaun Facebook tertinggi berdasarkan kepada bilangan penduduk. Bagaimanapun, pada 2018, penggunaan perkhidmatan rangkaian sosial merosot hampir 4% berbanding perangkaan 2016 (89.3% pada 2016, 85.6% pada 2018). Namun, komunikasi melalui mesej teks menggunakan aplikasi pemesejan sosial masih kekal sebagai aktiviti dalam talian paling popular dalam kalangan pengguna Internet di Malaysia (96.3% pada 2016, 96.5% pada 2018).

Dalam konteks penggunaan kandungan dalam talian, lebih ramai penonton yang beralih daripada saluran-saluran tradisional kepada tawaran-tawaran dalam talian (70% pada 2016, 77.6% pada 2018).

Pada November 2018, Speedtest Global Index oleh Ookla melaporkan, kelajuan muat turun untuk jalur lebar talian tetap di Malaysia telah meningkat hampir tiga kali ganda kepada 58Mbps (mega bit sesaat) berbanding 23Mbps pada Januari 2018. Perkembangan ini akan membolehkan rakyat Malaysia khususnya perniagaan-perniagaan untuk memaksimumkan potensi pendapatan mereka yang diperolehi daripada aktiviti-aktiviti dalam talian.

Dalam perkembangan sama, transaksi digital juga memperlihatkan trend yang semakin meningkat dengan aktiviti perbankan dan membeli-belah dalam talian melonjak pada 2018, berbanding 2016. Peningkatan bilangan pengguna Internet dan kepercayaan mereka yang lebih tinggi kepada perbankan dalam talian menjadi pemangkin kepada usaha membangunkan ekosistem digital yang lebih luas termasuk e-dagang, teknologi kewangan (fintech) dan pelbagai perkhidmatan digital yang menyumbang kepada pertumbuhan keseluruhan ekonomi digital Malaysia.

Trend-trend pengguna ini merupakan petunjuk kepada hasil usaha bersepadu yang digerakkan seperti capaian yang lebih luas kepada 3G dan 4G/LTE, kualiti rangkaian yang lebih baik dan peningkatan persaingan dalam pasaran jalur lebar mudah alih. Tambahan pula, langkah-langkah telah diperkenalkan untuk mengurangkan harga dan meningkatkan kelajuan jalur lebar talian tetap.

IUS 2018 juga mendapati, sembilan daripada sepuluh kanak-kanak berumur dalam lingkungan 5-17 tahun menggunakan Internet dan ini menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai risiko-risiko dalam talian umpamanya kandungan yang kurang sesuai, buli siber, berkomunikasi dengan individu yang tidak dikenali dan penipuan dalam talian. Dalam menguruskan risiko-risiko tersebut kepada kanak-kanak, kebanyakan ibu bapa (75.5%) memilih untuk menetapkan undang-undang mereka serta batasan penggunaan Internet untuk anak-anak mereka, termasuk hadir ketika anak-anak mereka sedang melayari Internet, daripada menggunakan Inisiatif Kawalan Ibu Bapa (Parental Control Tools) yang sedia ada (12.2%).
 
Sama seperti penemuan daripada IUS 2016, IUS 2018 mendapati, kebanyakan pengguna cenderung untuk mengakses Internet dari rumah. IUS 2018 mendedahkan, untuk pengguna luar bandar dan bandar, sembilan daripada sepuluh (88.6%) mengakses Internet dari “rumah” disebabkan mereka dapat bekerja dari rumah, rumah berperanan sebagai persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran bagi para pelajar selain Internet sebagai sumber utama untuk hiburan di rumah. “On-the-go” di tempat kedua (68.1%) diikuti oleh “tempat kerja” (56.4%).  Keadaan ini telah membawa kepada pengurangan bilangan pengguna Internet yang mengakses perkhidmatan Wi-fi percuma atau mengunjungi kemudahan-kemudahan Internet komersial dan komuniti.

Telefon pintar kekal sebagai peranti pilihan utama untuk mengakses Internet, iaitu sebanyak 93.1%. Peningkatan kuasa pengkomputeran yang ada pada peranti ini yang terus mendorong pertumbuhan aplikasi baharu dan fungsi, telah membawa kepada kemerosotan aktiviti capaian Internet melalui komputer meja dan feature phones. Manakala, peranti-peranti rumah seperti televisyen pintar, kotak penstriman TV dan konsol permainan semakin mendapat sambutan dalam kalangan pengguna Internet, sejajar dengan pertumbuhan perkhidmatan penstriman.

Kelajuan yang lebih pantas, pelan mudah alih dan peranti yang lebih murah serta elaun data yang lebih besar telah menyumbang kepada peningkatan aktiviti penstriman, komunikasi melalui suara/video, memuat turun muzik dalam talian mahupun bermain permainan dalam talian. Sebagai contoh, 77.6% pengguna menghabiskan masa mereka melakukan penstriman/memuat turun video-video dalam talian berbanding 70% pada 2016, manakala 60.6% berkomunikasi melalui suara/video berbanding 32% pada 2016.
 

Perangkaan 1: Aktiviti-aktiviti dalam talian oleh pengguna Internet berpandukan kepada Kajian Pengguna Internet 2016 dan 2018
 
 “Pengumpulan bukti empirikal mengenai trend pengguna yang berubah dan baharu itu akan membolehkan MCMC memulakan langkah-langkah kawal selia dan pembangunan untuk menyokong matlamat-matlamat dasar kebangsaan,” kata Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak.

“Satu penemuan signifikan adalah pengguna terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memerlukan kapasiti lebar jalur yang tinggi dan trend tersebut dijangka berterusan. Pelan Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang kini sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama MCMC dan para pemegang taruh dijangka mengimbangi pertumbuhan serantau dengan mewujudkan lebih banyak peluang yang dijana melalui perkhidmatan jalur lebar. Dengan liputan yang lebih baik, kualiti dan kemampuan jalur lebar, lebih ramai rakyat Malaysia akan dapat terlibat dalam ekonomi digital,” katanya.

Kajian tahunan, yang dijalankan dari 27 April sehingga 10 Ogos 2018 lalu melalui temu ramah telefon, mempunyai sampel sebanyak 4,160 pengguna Internet di seluruh negara. Responden-responden dipilih secara rambang.

Untuk maklumat lanjut tentang IUS 2018, sila layari:
https://www.skmm.gov.my/resources/statistics

Muat Turun PDF
Kongsi artikel ini
Follow