Pusat Media

Kawal Selia MCMC Ke Atas Digital Nasional Berhad Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia Untuk 5G

02 Mac 2021
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pengumuman mengenai Syarikat Bertujuan Khas oleh Kementerian Kewangan. Pihak Suruhanjaya ingin memaklumkan, Digital Nasional Berhad (DNB), Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia yang diumumkan untuk melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara, akan dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Ini bermakna, seperti juga mana-mana pemegang lesen lain dalam industri komunikasi dan multimedia, DNB adalah tertakluk kepada kawal selia oleh MCMC, walaupun entiti berkenaan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan.

MCMC akan mengawal selia dan memantau DNB melalui instrumen kawal selia yang relevan di bawah AKM 1998, bagi memastikan antaranya, penggunaan spektrum secara optimum dan supaya syarikat telekomunikasi dapat memperolehi capaian terbuka, saksama dan adil kepada perkhidmatan rangkaian 5G secara borong untuk penyediaan perkhidmatan runcit berlandaskan teknologi 5G.

Matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital menerusi pengumuman MyDigital baru-baru ini, memerlukan suatu usaha yang mantap, berdaya tahan dan pantas oleh semua pihak sambil mematuhi kepada peraturan dan governans yang betul. Dengan membebaskan syarikat telekomunikasi sedia ada daripada keperluan melabur untuk membina infrastruktur 5G, usaha dan sumber syarikat-syarikat ini boleh ditumpukan kepada langkah meningkat dan memperluaskan perkhidmatan 4G serta rangkaian gentian optik di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang begitu penting kepada pelaksanaan 5G. Ini pada masa yang sama dapat memastikan jurang digital dapat dikurangkan.

DNB akan berperanan sebagai pihak borong berkecuali (neutral), yang membolehkan syarikat telekomunikasi untuk memberi tumpuan kepada teknologi terkini dalam membangunkan perkhidmatan runcit yang inovatif sebagai tawaran perkhidmatan kepada pengguna, perusahaan dan Kerajaan. Penawaran perkhidmatan secara borong oleh DNB akan dipantau secara rapi oleh MCMC berpandukan kepada peruntukan di bawah AKM 1998. Kepantasan dan penjimatan kos daripada pelaksanaan 5G boleh dipindahkan untuk memanfaatkan pengguna.

Dalam mengawal selia pihak DNB, MCMC akan kekal fokus dalam usahanya untuk meningkat dan memperluaskan liputan kesalinghubungan digital serta merangsang pertumbuhan ekonomi baharu untuk negara menerusi peluang-peluang yang dipacu oleh 5G.

 

PDF

Kongsi artikel ini
Follow