Media & Events

MCMC Terus Pertingkat Usaha Tangani Masalah Capaian Internet

08 Feb 2021
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus mempertingkat usaha menangani masalah capaian Internet yang dihadapi oleh penduduk di seluruh negara apabila turun padang dan meninjau sendiri situasi sebenar di lokasi-lokasi aduan.

Berikut adalah tindakan-tindakan yang telah diambil oleh MCMC:

i. Kg. Rambai, Padang Siding, Arau

Susulan laporan oleh Buletin Utama TV3 mengenai kisah empat (4) orang anak Puan Lim Ai Gaik yang tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kerana capaian Internet yang perlahan dan terpaksa berkongsi peranti, pihak MCMC telah mengambil inisiatif membawa keluarga berkenaan ke Pusat Internet Komuniti (PIK) Felda Chuping yang terletak lima (5) kilometer dari tempat mereka. PIK disediakan dengan peranti dan perkhidmatan-perkhidmatan kepada komuniti.

Selain itu, MCMC turut mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan di kawasan terbabit iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile untuk menjalankan pengoptimuman rangkaian dari menara berdekatan bagi meningkatkan kualiti capaian Internet. Proses ini dijangka siap hujung bulan Februari 2021.

ii. Kg. Lubuk Legong, Baling

Laporan Utusan Malaysia mengenai kisah lebih 70 orang pelajar anak Orang Asli Kg. Lubuk Legong, Mukim Siong di Baling yang menghadapi kesukaran mengikuti PdPR akibat capaian Internet rendah telah disiasat oleh MCMC. Hasil siasatan yang dijalankan oleh MCMC mendapati, masalah berbangkit di kawasan pengadu bukan mengenai isu liputan mudah alih sebaliknya adalah isu ketersediaan peranti untuk tujuan PdPR. Ini telah dibuktikan dengan hasil keputusan Ujian Kelajuan Muat Turun oleh pegawai MCMC yang menunjukkan kualiti liputan di kampung itu amat memuaskan serta diakui oleh pengadu.

Susulan itu, MCMC telah menjemput Pengurus PIK Pekan Kampung Lalang, Puan Nor Mushahida dan Penolong Pengurus, Cik Nor Syahidah untuk memberikan taklimat kepada pengadu mengenai jenis-jenis perkhidmatan yang disediakan di PIK dan bagaimana para pelajar boleh memanfaatkan kemudahan di sana.

iii. Sekolah Kebangsaan Pos Brooke, Gua Musang

Mengenai masalah capaian Internet di Pos Brooke yang dilaporkan oleh Malay Mail pula, sebuah menara komunikasi berdekatan Sekolah Kebangsaan Pos Brooke akan dinaik taraf kepada liputan 4G di bawah pelan JENDELA dan ia dijangka siap hujung tahun 2021. Penyelesaian tersebut dijangka dapat membantu lebih 300 orang pelajar sekolah berkenaan.

iv. Kg. Kuala Sat di Mukim Ulu Tembeling, Jerantut

Di Kg. Kuala Sat, mukim Ulu Tembeling, Jerantut pula, laporan oleh Buletin Utama TV3 mengenai masalah capaian Internet di sana diambil tindakan oleh MCMC. Satu tinjauan ke kawasan terbabit telah diadakan pada 1 Februari 2021 lalu bersama dengan syarikat penyedia perkhidmatan. Dalam lawatan tersebut, MCMC telah mengadakan pertemuan dengan pengadu iaitu Naib Yang Dipertua PIBG SK Kuala Sat dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Kuala Sat.

Menara komunikasi berdekatan kampung tersebut dan beberapa buah kampung dalam mukim Ulu Tembeling akan dinaik taraf kepada liputan 4G di bawah pelan JENDELA yang dijangka bermula pada suku kedua 2021.

v. Kg. Selindang, Padang Tengku, Lipis

Turut diambil tindakan oleh MCMC ialah masalah liputan Internet lemah di Kg. Selindang. Lawatan ke tapak telah pun diadakan pada 29 Januari 2021 lalu yang mana pihak MCMC telah berjumpa dengan pengadu. Oleh itu, sebuah menara komunikasi baharu akan dibina di bawah pelan JENDELA yang dijangka bermula pada suku ketiga 2021. Manakala, menara sedia ada berhampiran akan dinaik taraf kepada liputan 4G untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di Kg. Selindang dan beberapa buah kampung berhampiran yang dijangka bermula pada suku kedua 2021.

vi. Kg. Mentara Baru, Merapoh, Lipis

Berhubung dengan permohonan agar liputan pencawang menara telefon di Kg. Mentara Baru dinaik taraf, perkara berkenaan disampaikan oleh bekas Ahli Parlimen Lipis, Dato’ Dr Mohd Shahrom Osman menerusi sepucuk surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Berikutan itu, pihak MCMC telah pun mengadakan lawatan ke tapak pada 24 Disember 2020 lalu dan berjumpa dengan si pengadu yang juga Pengerusi JKKK Kg. Mentara Baru. Hasil lawatan ke tapak mendapati, menara sedia ada tidak mempunyai liputan 4G.

Justeru, sebagai penyelesaian jangka panjang, pihak Digi telah memaklumkan bahawa kerja-kerja menaik taraf menara kepada liputan 4G akan siap menjelang pertengahan Februari ini. Perkembangan kerjakerja menaik taraf menara sedang dipantau oleh MCMC dan pengadu/wakil penduduk akan dimaklumkan mengenainya setelah kerja-kerja naik taraf selesai.

Turut dilaksanakan ialah rangkaian gentian optik meliputi beberapa menara sedia ada termasuk di Kg. Mentara Baru yang telah siap pada minggu pertama Februari 2021 lalu.

Sehubungan itu, MCMC akan terus memantau perkembangan tindakan-tindakan yang telah diambil dan jika perlu, mengambil tindakan susulan agar masalah capaian Internet di seluruh negara ditangani dengan tuntas sekaligus membolehkan penduduk setempat melaksanakan aktiviti seharian mereka dengan lancar.


PDF
Share this article
Follow