Pusat Media

MCMC Sambut Baik Pengumuman Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN)

16 Jun 2021
Pengumuman oleh Perdana Menteri semalam berhubung pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi panduan yang jelas bagaimana Malaysia boleh keluar secara berfasa daripada pandemik COVID-19.

Sebagai sebuah badan kawal selia yang bertanggungjawab ke atas sektor Komunikasi meliputi telekomunikasi dan Internet, pos dan kurier serta penyiaran, MCMC komited untuk terus memastikan kelangsungan operasi dalam perkhidmatan-perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam hal ini, pelbagai langkah telah diambil oleh MCMC bagi menjayakan agenda PPN.

Pembukaan ekonomi secara berfasa, amat memerlukan agar perkhidmatan-perkhidmatan perlu beroperasi pada tahap yang dikehendaki dan mengguna pakai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dimaklumkan terdahulu secara berdisiplin. Antaranya, rakyat akan terus terhubung melalui perkhidmatan-perkhidmatan perlu yang disediakan seperti telekomunikasi dan Internet, pos dan kurier serta penyiaran. Mereka boleh memanfaatkan kesalinghubungan Internet untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti seharian seperti e-dagang, bekerja dari rumah (WFH) dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara dalam talian tanpa perlu bersemuka. Ini boleh membantu usaha Kerajaan mengurangkan kluster jangkitan di tempat kerja selain pematuhan kepada SOP.  

Pelbagai program telah dibangunkan bersama industri seperti Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk kesalinghubungan, Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) untuk penghantaran barangan, Transformasi Pejabat MCMC Negeri untuk lebih tangkas mengatasi isu perkhidmatan dan pembangunan Pusat Internet Komuniti (PIK) untuk membantu komuniti setempat baik bagi kesalinghubungan serta pembangunan ekonomi setempat.

Antara inisiatif dari program tersebut seperti PAKEJ adalah pelaksanaan Rangkaian Penghantaran Bungkusan yang komprehensif dengan menambahkan lebih banyak Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) di seluruh negara. Kelebihan PUDO adalah ia tidak ada keperluan untuk para pelanggan menunggu ketibaan penghantaran. Sebaliknya, penghantaran barangan akan dilaksanakan secara tanpa sentuhan. Ketiadaan sentuhan dalam proses ini akan membantu melindungi seseorang pelanggan daripada risiko jangkitan. Ditambah pula dengan pandemik COVID-19 yang mana bungkusan rosak atau tercemar menjadi satu kebimbangan, PUDO menjadi jalan penyelesaian terbaik dalam mengurangkan risiko pendedahan bungkusan.

Begitu juga sektor penyiaran yang diberi kebenaran untuk terus beroperasi semasa tempoh PKP bagi membolehkan rakyat mengikuti perkembangan semasa dengan selamat dan selesa dari rumah. Melalui informasi sahih dan tepat pada waktunya, ia akan membolehkan rakyat merancang aktiviti sehariannya dengan baik.

Seiring dengan PPN, pendigitalan negara terus menjadi fokus utama MCMC bagi membantu negara dalam menyediakan landasan yang mantap bagi pemulihan ekonomi. Setiap individu akan memainkan peranan penting untuk membantu pelaksanaan PPN, baik dari segi mengurangkan kadar kes baharu mahupun meningkatkan perlindungan komuniti dengan vaksinasi berasaskan kepada pelan yang telah terancang. Pihak MCMC akan sentiasa membantu dan bersamalah kita menuju ke arah kemenangan mengatasi pandemik ini.

 #menangbersama


PDF

 

Kongsi artikel ini
Follow