Media & Events

MCMC Pelawa Orang Ramai Sertai Soal Selidik Berkenaan Penggunaan Aplikasi Mudah Alih Nasional

17 Sep 2021
CYBERJAYA, 17 September 2021 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempelawa orang ramai untuk menyertai soal selidik berkenaan dengan penggunaan Aplikasi Mudah Alih Nasional bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung perkhidmatan digital yang perlu dan ingin digunakan menerusi platform aplikasi berkenaan.

Soal selidik tersebut akan dikendalikan secara dalam talian bagi tempoh tiga (3) minggu bermula pada 15 September 2021 sehingga 6 Oktober 2021.

Antara objektif utama soal selidik ini adalah untuk:

a) Mengenal pasti keperluan rakyat merentasi pelbagai latar belakang dalam menyokong perancangan dan pembangunan Aplikasi Mudah Alih Nasional;
b) Memperkenalkan konsep Aplikasi Mudah Alih Nasional dan senario potensi penggunaannya di negara ini;
c) Mendapatkan pandangan serta input bagi potensi penggunaan Aplikasi Mudah Alih Nasional merentasi sektor awam dan swasta; dan
d) Menilai penambahbaikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat yang perlu dipertingkat melalui platform Aplikasi Mudah Alih Nasional.

Kesemua maklum balas yang diberikan menerusi soal selidik ini akan diambil kira dalam pembangunan platform Aplikasi Mudah Alih Nasional yang sedang dirancang oleh Kerajaan ketika ini. Cadangan pelaksanaan platform Aplikasi Mudah Alih Nasional tersebut telah dipersetujui secara prinsip oleh pihak Kerajaan menerusi Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat Negara (MED4IR) pada 22 April 2021 lalu.

Untuk makluman, platform Aplikasi Mudah Alih Nasional merupakan satu aplikasi untuk mengakses pelbagai perkhidmatan digital. Dalam erti kata lain, platform berkenaan menjadi pusat sehenti setempat yang membolehkan pengurusan keperluan pengguna diuruskan melalui sebuah aplikasi yang menawarkan kemudahan penggunaan, kepelbagaian fungsi, ciri-ciri dinamik, kepelbagaian perkhidmatan digital serta membolehkan pengguna merasai pengalaman digital yang lancar.

Aktiviti-aktiviti seperti mengakses perkhidmatan digital Kerajaan, perkhidmatan swasta terpilih, pembayaran bil, saman trafik, pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan, pendaftaran kelahiran, perkahwinan dan banyak lagi boleh dilaksanakan tanpa perlu berulang alik ke lokasi.

Bagi mereka yang ingin menyertai soal selidik terbabit, mereka boleh layari pautan http://bit.ly/AppNasional untuk berbuat demikian.


 PDF

Share this article
Follow