Pusat Media

MCMC Laksanakan Inisiatif Pertingkatkan Pusat Pungutan Dan Serahan (PUDO) Dan Kualiti (Cont')

05 Jun 2021
MCMC LAKSANAKAN INISIATIF PERTINGKATKAN PUSAT PUNGUTAN DAN SERAHAN (PUDO) DAN KUALITI PERKHIDMATAN DEMI KEPENTINGAN PENGGUNA

Susulan pengumuman oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah mengenai Pakej Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) pada 3 Jun 2021, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan beberapa inisiatif dalam usahanya untuk mempertingkatkan Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) di seluruh negara sekaligus memberikan kualiti perkhidmatan (QoS) dan pengalaman (QoE) yang lebih baik kepada pengguna serta menjana pertumbuhan sektor e-dagang.

Di bawah PAKEJ, ia akan memberi tumpuan kepada pengenalan lebih banyak PUDO bebas, perkongsian aset antara syarikat kurier, rombakan syarat lesen operasi, kenderaan penghantaran yang lebih ekonomi, pemakluman dan pematuhan kepada piagam tempoh penghantaran serta penawaran insuran dan mengadakan perkhidmatan premium.

Pihak MCMC, kini sedang mewujudkan sebuah platform tunggal untuk titik serahan setempat PUDO iaitu Pelan Rangkaian Infrastruktur PUDO atau PINM yang akan dianggotai oleh pelbagai pemain industri. Pelaksanaan PINM dibahagikan kepada dua (2) fasa iaitu Fasa Pertama melibatkan aspek pembangunan platform yakni pengumpulan semua titik serahan setempat PUDO oleh pelbagai syarikat di bawah satu bumbung manakala Fasa Kedua pula menghubungkan platform tersebut dan diintegrasikan dengan e-pasaran.

Selain itu, MCMC sedang meneroka potensi Pusat Internet Komuniti (PIK) untuk dijadikan sebagai titik serahan setempat PUDO di bawah inisiatif PUDO@PIK untuk kemudahan penduduk di kawasan luar bandar. Perancangan sedang berjalan bagi mendapatkan sokongan daripada pihak pemegang taruh dan mewujudkan satu peluang ekonomi kepada kedai-kedai runcit untuk menyertai rangkaian titik serahan setempat PUDO.

Dalam pada itu, khidmat penghantaran ke bangunan tinggi adalah mencabar. Justeru, tindakan untuk menawarkan lebih banyak titik serahan setempat melalui PUDO adalah berkesan untuk meningkatkan khidmat penghantaran. Dalam konteks ini, MCMC telah mengenal pasti PUDO@bangunan tinggi sebagai strategi untuk tujuan ini dengan mewujudkan loker bungkusan di bangunan berkenaan.

Berkenaan dengan QoS pula, MCMC kini dalam proses menyediakan deraf Garis Panduan Mengenai Amalan Terbaik Industri yang memberi penekanan kepada tiga (3) aspek iaitu mengenai kualiti perkhidmatan, perlindungan serta skim liputan untuk bungkusan pengguna dan pengenalan jaminan perkhidmatan. Dalam hal ini, MCMC telah pun selesai menjalankan sesi konsultasi dengan Persatuan Syarikat Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) dan Forum Pos namun masih perlu konsultasi dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan. Kesemua inisiatif ini adalah penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dan pengalaman kelas pertama kepada pengguna serta memperkemaskan integrasi sistem penyampaian hiliran (last-mile).

MCMC menyambut baik pengumuman PAKEJ oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia dan akan memantau secara rapi pelaksanaan PAKEJ bersama-sama dengan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.


PDF
Kongsi artikel ini
Follow