Media & Events

Jangan Sebar Atau Kongsi Rakaman Video Insiden Tembakan Di Masjid Christchurch

15 Mar 2019
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengingatkan orang ramai di negara ini untuk tidak berkongsi ataupun menyebarkan rakaman video berhubung insiden tembakan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang berlaku hari ini.
 
Tindakan tersebut adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini yang boleh mengundang suasana panik dan marah dalam kalangan masyarakat. Orang ramai juga diminta menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat.
 
Pada masa yang sama, pihak MCMC akan turut bekerjasama dengan penyedia-penyedia perkhidmatan untuk menurunkan rakaman berkenaan.
 
Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. MCMC memandang serius perkara ini dan mana-mana pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.
 
 TAMAT
Share this article
Follow