Pusat Media

Gangguan Ke Atas Perkhidmatan Telekomunikasi Dan Penyiaran Menggunakan Satelit MEASAT-3 (Cont')

24 Jun 2021
GANGGUAN KE ATAS PERKHIDMATAN TELEKOMUNIKASI DAN PENYIARAN MENGGUNAKAN SATELIT MEASAT-3 BERJAYA DIPULIHKAN

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan bahawa gangguan ke atas perkhidmatan telekomunikasi dan penyiaran menggunakan satelit MEASAT-3 yang berlaku sejak 21 Jun 2021 lalu, telah berjaya dipulihkan. Gangguan tersebut berlaku apabila posisi satelit MEASAT-3 terjejas disebabkan oleh masalah teknikal.

Menurut laporan yang diterima daripada pihak MEASAT, kerja-kerja baik pulih telah giat dijalankan susulan insiden itu dan satelit tersebut kini telah diletakkan kepada mod operasi biasa. Manakala, transponder juga telah dihidupkan kembali sejak pukul 9.30 pagi tadi bagi membolehkan para pelanggan untuk menyambung semula perkhidmatan mereka dan proses ini dijangka mengambil masa selama beberapa jam.

Walaupun punca kejadian sebenar masih belum diketahui, namun siasatan awal yang dijalankan mendapati, berlakunya kegagalan thruster. Untuk itu, back-up thrusters telah digunakan untuk mengawal satelit berkenaan tanpa sebarang impak kepada operasi dan jangka hayat satelit yang dimaksudkan.

Insiden ini telah mengakibatkan gangguan ke atas pelbagai perkhidmatan seperti Direct-to-Home (DTH), pengagihan saluran video, perkhidmatan telefon mudah alih oleh pihak penyedia perkhidmatan dan juga perkhidmatan Very Small Aperture Terminal (VSAT). Dianggarkan seramai 14,000 pelanggan yang terkesan akibat insiden ini.

Sehubungan itu, MCMC ingin memohon pihak awam untuk menghubungi terus MEASAT sekiranya perkhidmatan yang dilanggani masih lagi terjejas.

PDF

 
Kongsi artikel ini
Follow