Pusat Media

366 Kelulusan Operasi Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Dikeluarkan Kepada Syarikat-Syarikat(Cont’)

04 Jun 2021
366 KELULUSAN OPERASI SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIKELUARKAN KEPADA SYARIKAT-SYARIKAT YANG TERLIBAT DALAM SEKTOR KOMUNIKASI SETAKAT 3 JUN 2021

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang berperanan sebagai agensi pengesahan dalam sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) bagi sektor telekomunikasi dan Internet, penyiaran serta pos dan kurier telah memperakui 366 permohonan surat kebenaran beroperasi dan pergerakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 1 Jun 2021. Perakuan ini diberikan kepada sebahagian daripada 1,786 permohonan daripada Sektor Komunikasi yang telah diproses melalui CIMS setakat ini.

Daripada jumlah tersebut, 132 kelulusan melibatkan syarikat perkhidmatan telekomunikasi, 108 berkaitan penyiaran dan 126 berkaitan pos dan kurier. Baki 1,420 permohonan lagi telah ditolak atas alasan seperti berikut:-

• Perkhidmatan bukan di bawah Sektor Komunikasi;
• Perkhidmatan walaupun di bawah Sektor Komunikasi, namun bukan pemegang lesen atau menjalankan perkhidmatan perlu; atau
• Tidak tersenarai sebagai vendor, pengedar atau ejen yang disahkan oleh pemegang lesen.

Oleh yang demikian, untuk memastikan kelancaran proses pengesahan serta memastikan mereka yang benar-benar layak diberikan kebenaran beroperasi dan pergerakan dengan segera, MCMC memohon kerjasama semua pihak untuk memastikan status syarikat adalah tergolong dalam perkhidmatan perlu. Bagi mereka yang bukan pemegang lesen yang dikeluarkan oleh MCMC, syarikat perlu mendapat pengesahan pihak pemegang lesen yang berkaitan terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan melalui CIMS.

CIMS merupakan pusat sehenti yang diuruskan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tujuan pengeluaran surat kebenaran beroperasi dan pergerakan semasa PKP kepada semua sektor industri yang dianggap sebagai perkhidmatan perlu, termasuk Sektor Komunikasi yang merangkumi perkhidmatan telekomunikasi, pos dan kurier serta penyiaran.

Proses kelulusan melalui CIMS bagi sektor-sektor yang berada di bawah pemantauan MCMC dijalankan secara telus dan teliti bersandarkan matlamat meneruskan kesinambungan perkhidmatan perlu kepada rakyat serta mengelakkan penyalahgunaan surat kebenaran yang diberikan untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Sama-sama kita bersabar dan mematuhi prosedur-prosedur yang telah ditetapkan untuk melandaikan lengkok jangkitan COVID-19 agar kehidupan rakyat dan ekonomi negara dapat segera dipulihkan. Duduk di rumah dan teruskan bekerja, belajar, berurusan, membeli-belah serta berinteraksi melalui kemudahan dan capaian teknologi yang disediakan secara dalam talian.

 

PDF

Kongsi artikel ini
Follow