Media & Events

Terima 1,090 aduan penyebaran kandungan lucah sejak 2020

30 Sep 2022, Sinar Harian
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan telah menerima sebanyak 1,090 aduan berkaitan penyebaran kandungan lucah termasuk di platform Twitter sejak tahun 2020 sehingga Ogos 2022. 

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, SKMM telah melaporkan 209 akaun yang memuat naik kandungan berunsur lucah dan kesemuanya telah pun diturunkan. 

Ujarnya lagi, 292 laman sesawang didapati menjalankan aktiviti pelacuran turut disekat.

"Peranan kerajaan telah sekat laman-laman lucah ini tetapi masih lagi mereka membuka akaun balik. Kita tutup laman tersebut tetapi mereka buka akaun yang lain. 

"Ini cabaran kita dan sebab itu kita lihat dari sudut undang-undang melalui tindakan SKMM di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

"Jelas menunjukkan bagi sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang iaitu aktiviti mencari langganan bagi maksud persundalan. Ini adalah kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan,"katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan oleh Finaz Yunus, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat. 

Program yang membincangkan topik bertajuk Jual Maruah Kini Trending di Alam "Darkside" itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Naufal Nazri sebagai speaker "Darkside".
Share this article
Follow