Media & Events

Syarikat telekomunikasi gagal tambah baik kualiti perkhidmatan kena penalti

07 Mar 2023, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengambil tindakan penalti sivil terhadap syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi yang gagal mematuhi 40 Arahan Suruhanjaya untuk menambah baik kualiti perkhidmatan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata menerusi Arahan Suruhanjaya itu, syarikat pemberi perkhidmatan wajib melakukan penambahbaikan kualiti perkhidmatan.

Antara langkah penambahbaikan itu termasuklah mengoptimum atau menaik taraf menara sedia ada agar kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik serta menyediakan menara baharu untuk menambah baik kualiti jaringan jalur lebar.

Tegasnya, kegagalan pemberi perkhidmatan mematuhi Arahan Suruhanjaya membolehkan mereka dikenakan penalti sivil sehingga RM200,000 di bawah Seksyen 109 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pada 2022, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)telah selesai mengaudit sejumlah 3,080 lokasi di seluruh Malaysia.

"Setakat ini, sebanyak 229 Arahan Suruhanjaya telah dikeluarkan kepada pemberi perkhidmatan, yang membabitkan 214 lokasi berbeza.

"Daripada 229 Arahan Suruhanjaya itu, pemberi perkhidmatan telah membuat penambahbaikan yang membabitkan 157 Arahan Suruhanjaya, manakala semakan semula akan dibuat ke atas lokasi yang membabitkan 32 Arahan Suruhanjaya.

"Tindakan sivil akan diambil ke atas baki 40 Arahan Suruhanjaya yang telah gagal dipatuhi. Bagi lokasi lain yang telah diaudit, hasil dapatan masih dalam peringkat analisis dan semakan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang bertanya apakah tindakan KKD kerana rakyat sudah hilang sabar berdepan masalah liputan telekomunikasi yang tiada penghujung.

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan SKMM akan terus menjalankan audit kualiti perkhidmatan bagi tahun ini, dengan sasaran 4,000 lokasi di seluruh negara bagi memastikan Standard Mandatori terus dipatuhi oleh pemberi perkhidmatan untuk menyelesaikan masalah kualiti perkhidmatan.

"Usaha melalui projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 sehingga 2025 juga akan dapat memperbaiki masalah kualiti perkhidmatan jaringan jalur lebar di seluruh Malaysia," katanya.

Share this article
Follow