Media & Events

Selaras kerjasama KPDNHEP, PDRM, SKMM banteras scammer

21 Sep 2022, Utusan
MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyelaras kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membabitkan aduan berkaitan penipuan (scam).

Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNHEP, Adiratno Che Ani berkata, perbincangan mengenai perkara itu akan dibuat secara berperingkat dalam masa terdekat. 

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan tindakan terhadap setiap aduan dapat diselaraskan antara pihak-pihak yang terlibat. 

"Orang ramai sudah mula tidak senang seolah-olah kerajaan tidak buat apa-apa. Sebenarnya kita sedang bergerak ke arah itu. 

"Kita hendak pastikan bahawa apabila aduan diterima, tindakan dapat diselaraskan antara jabatan atau agensi yang berkaitan. Jika melibatkan polis, sejauh mana pasukan itu hendak teruskan. 

"Begitu juga dengan bidang kuasa kementerian, setakat mana ia dapat membantu menyelesaikan kes-kes seperti ini. Cuma seperti yang saya katakan, kita di peringkat kementerian lebih kepada mendidik. 

"Sebab dalam kes-kes penipuan (Macau Scam) kita anggap sebagai jenayah yang melibatkan bidang kuasa polis,"katanya dalam sidang akhbar selepas Program Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIK KPS) peringkat negeri di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Adiratno berkata, bidang kuasa membabitkan kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan tidak perlu diperluaskan. 

"Bidang kuasa pada polis dan SKMM sudah ada, hanya pelarasan sahaja yang tidak secara khusus," jelasnya. 

Dalam perkembangan lain, Adiratno turut memaklumkan, KPDNHEP telah menerima hampir 20,000 aduan membabitkan pelbagai kategori setakat Ogos lalu - UTUSAN
Share this article
Follow