Pusat Media

Scammers lagi bijak atau penguat kuasa tidak cekap?

25 Ogo 2022, Kosmo
Khutbah Jumaat minggu lalu di masjid Kuala Lumpur bertumpu kepada masalah scammers dan pelbagai bentuk penipuan sama ada dalam talian dan telefon. Khatib mengingatkan jemaah mengenai ancaman scammers. Ia menjadi satu lagi jenayah besar. 

Perangkaan polis menunjukkan ratusan juta ringgit disonglap penipu-penipu dalam talian. Daripada mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri kepada anggota penguat kuasa sehingga profesional luar negara yang sepi dan mencari cinta, ramai sudah yang tertipu.

Tak kira profesional, pakar, doktor, pesara, peguam, yang cerdik dan kurang cerdik, semua jadi mangsa tipu. Pesara, orang lanjut usia dan mereka yang kesepian turut menjadi sasaran.

Jika dibaca kisah-kisah mangsa, harus ditabik ‘pelakon’ yang menipu mangsa. Ayat cinta dan skrip boleh memenangi hadiah cerpen. Kalau di layar perak mereka boleh jadi penulis skrip filem pecah panggung.

Bukan itu sahaja, ada mangsa yang berkongsi maklumat bank apabila terdesak atau didesak bagi mengelak tindakan undang-undang oleh scammers ini. Prinsip operasi bank mudah.

Apabila pelanggan beri data peribadi termasuk data perbankan kepada pihak lain, institusi kewangan terlepas tanggungjawab membayar ganti rugi pemindahan wang secara haram.

Beberapa hari ini terdapat desakan pengguna supaya pihak bank membayar ganti rugi mangsa yang tidak mendedahkan maklumat perbankan.

Begitu juga dengan ‘keldai akaun’ yang sanggup dipergunakan untuk membolehkan transaksi dilaksanakan.

Mungkin ribuan akaun digunakan oleh scammers sebagai keldai bagi melicinkan transaksi penghantaran wang ke akaun akhir.

Realitinya, isu scammers bukan hanya di Malaysia. Di kebanyakan negara, masalah ini berleluasa terutama dalam kalangan masyarakat yang ada wang. Skrip dan jalan cerita bagi menyakinkan mangsa sama sahaja.

Malah, isu scammers sudah menjadi jenayah sejagat yang memerlukan perhatian serius.

Di Malaysia, ia menimbulkan kemarahan kerana dilihat hanya nasihat yang berulang kali disiarkan, tetapi saban hari ada sahaja kes walaupun peringatan sehingga ke mimbar masjid.

Adakah scammers lebih bijak atau penguatkuasaan tidak mampu sampai ke peringkat dapat membawa penjenayah telefon ini ke penjara. Ketika ini hanya dikesan ‘keldai akaun’, tetapi ke mana wang ini dihantar tidak menunjukkan sebarang siasatan.

Walaupun alasan wang itu dihantar ke luar negara, kerjasama jenayah antarabangsa atau hubungan antara negara membolehkan siasatan dilakukan. Pada masa ini kita belum lihat scammers dihantar ke dalam sel penjara.

Peringatan dan nasihat berulang penting. Tetapi tindakan undang-undang bagi mengheret pesalah yang mengaut untung dan usaha membawa balik hasil kutipan scammers juga perlu.

Jika ada kebocoran disebabkan kelemahan sistem komputer bank, institusi kewangan perlu dipertanggungjawabkan. Cadangan kumpulan penyiasat luar dari bank memastikan keadilan tercapai. 

Kalau bank siasat diri sendiri, ia seperti pencuri disiasat keluarga pencuri. Untuk melepasi dinding sederhana tinggi, cukup untuk dilompat.

Kalau dinding terlalu tinggi, dinding itu perlu dirobohkan. Kini usaha perlu bagi merobohkan arena scammers dan pastikan dunia lebih selamat.

Kongsi artikel ini
Follow