Media & Events

SKMM ingatkan rakyat jangan layan panggilan tidak dikenali

30 Aug 2022, Utusan

PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan untuk terus berwaspada dan tidak melayan sebarang panggilan daripada individu atau nombor tidak dikenali.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus berkata, langkah tersebut adalah benteng pertama pertahanan terhadap ancaman scammer.

“Dahulu, kita lihat scammer ini menggunakan nombor telefon antarabangsa, namun, sekarang mereka sudah satu langkah ke hadapan dengan menggunakan nombor-nombor telefon tempatan, jadi apabila orang awam terima panggilan seperti itu ia nampak seperti ‘genuine’.

“Paling mudah jangan layan panggilan-panggilan tersebut dan kita juga mengesyorkan supaya orang awam boleh memuat turun aplikasi yang dapat mengenal pasti dan memaklumkan panggilan itu dibuat dari mana sebab ia sangat membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan trend jenayah scammer selepas merasmikan Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama Anugerah Geran Kajian Masyarakat Digital (DSRG) dan Simposium Penyelidikan 2022 di sini hari ini.

Tambahnya, SKMM akan terus mempertingkatkan usaha dari segi advokasi dan kesedaran kepada khalayak ramai berhubung taktik-taktik penipuan yang sering digunakan oleh scammer.

Beliau turut memaklumkan bahawa SKMM masih dalam peringkat perbincangan dan akan bekerjasama dengan pihak-pihak pemberi perkhidmatan supaya mereka dapat memperkenalkan atau meningkatkan lagi mekanisme pertahanan.

“Ada juga kes scammer yang melibatkan pihak bank yang kemungkinan kita pun tidak tahu bagaimana (mereka menjalankan) modus operandi, tiba-tiba sahaja sudah tolak (wang) dari akaun.

“Justeru, kita sedang bekerjasama rapat dengan semua agensi dan organisasi yang berkaitan (untuk menanganinya),” ujarnya. 

Share this article
Follow