Media & Events

Rakyat berpeluang lapor aduan terus

05 Mar 2023, Sinar Harian

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuka reruai bagi membolehkan orang ramai melaporkan sebarang masalah berkaitan semasa Town Hall Rakyat bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Isnin ini.

Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, antara pertanyaan dan maklum balas yang boleh dikemukan adalah berhubung isu kesalinghubungan Internet, masalah berita palsu, scam dan jenayah siber.

Menurutnya, hasil daripada maklum balas yang diperoleh, pihak SKMM boleh menilai permasalahan yang dihadapi dan selanjutnya tampil dengan jalan penyelesaian.

“Pembukaan reruai pada sesi Townhall Menteri Komunikasi dan Digital adalah bagi membolehkan orang awam lebih memahami peranan dan tugas-tugas SKMM sebagai badan regulatori bagi komunikasi dan multimedia yang melibatkan sektor komunikasi, penyiaran, pos dan kurier,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Bagaimanapun, menurut beliau, perlu diingatkan bagi aduan berkaitan kesalinghubungan, tanggungjawab untuk menyelesaikannya terletak di pihak penyedia perkhidmatan.

Jelasnya, SKMM hanya akan memantau penyelesaian dan memastikan penyedia perkhidmatan mematuhi kerangka masa ditetapkan.

Tambah Zulkarnain, jenis aduan yang diterima adalah, bagi perkhidmatan telekomunikasi ia termasuk isu liputan rangkaian, bil dan bayaran, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), Pengalihan Nombor Mudah Alih.

Bagi pos dan kurier, menurutnya, ia melibatkan isu penghantaran yang lambat, penyampaian servis yang lemah, kehilangan bungkusan atau dokumen.

Share this article
Follow