Media & Events

Penggabungan Celcom Digi bentuk sinergi RM8 bilion

10 Jan 2023, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Penggabungan Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd (Digi) yang dimuktamadkan pada November lalu akan membentuk sinergi bernilai RM8 bilion.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jeffrey Tan, berkata perkembangan yang disahkan pada sesi taklimat pelabur sulung dianjurkan pertengahan bulan lalu itu turut mengambil kira beberapa aspek kos penyepaduan yang tidak didedahkan serta penyelesaian kawal selia.

"Bahagian terbesar daripada sinergi berkenaan akan terkumpul daripada penjimatan rangkaian bernilai RM5.5 bilion, dengan perincian selebihnya hanya akan didedahkan selepas pengumuman perolehan dan keputusan operasi bagi suku pertama 2023 Celcom, Axiata dan juga syarikat yang digabungkan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Axiata Group Bhd, Telenor Asia Pte Ltd dan Digi selesai menggabungkan operasi telekomunikasi Celcom Axiata Bhd dan Digi pada 30 November lalu.

Axiata menjelaskan pihaknya dan Telenor akan memegang pemilikan yang sama dalam Celcom Digi iaitu masing-masing sebanyak 33.1 peratus.

Setelah selesai, Axiata menerima saham Digi yang baru diterbitkan mewakili 33.1 peratus serta tunai berjumlah RM2.5 bilion yang dibiayai oleh Digi dan akan diambil alih oleh entiti gabungan (Celcom Digi).

Digi juga menerbitkan saham untuk Telenor bagi mencapai pemilikan yang sama susulan pembayaran Telenor sebanyak RM300 juta kepada Axiata.

Pasca penggabungan, Celcom Digi akan menjadi syarikat teknologi tersenarai tempatan terbesar di Bursa Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Tan berkata peningkatan pelancongan antarabangsa dengan penamatan dasar sifar kes COVID-19 oleh China, dilihat mampu memacu pemulihan lanjut dalam hasil perkhidmatan mudah alih (MSR).

Beliau berkata, MSR industri diunjurkan berkembang sebanyak dua hingga tiga peratus tahun ke tahun pada ramalan tahun kewangan 2023, berbanding satu hingga dua peratus tahun ke tahun pada tahun kewangan 2022.

"Walaupun liputan populasi 5G yang dilaporkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) berjaya mencecah 47 peratus pada akhir 2022, sumbangan 5G diramalkan tidak begitu ketara berikutan perkhidmatan 4G dan kuota data tinggi yang lebih daripada cukup untuk memenuhi permintaan data pengguna, selain kurangnya penggunaan 5G," katanya.

Pada 5 Disember 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semakan dibuat ke atas model 5G dan proses tender rangkaian.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata isu 5G mungkin diselesaikan pada suku pertama tahun ini, dengan keputusan terakhir akan dibuat oleh Kabinet.

Meskipun begitu, pelancaran 5G oleh DNB masih berterusan dengan kos borong ditanggung oleh syarikat telekomunikasi (telco), kecuali Maxis mulai Januari 2023.

"Telekom Malaysia (TM) kekal menjadi syarikat bermodal besar pilihan kami, manakala OCK Group dipilih sebagai syarikat bermodal kecil terbaik.

"Kami terus menyukai syarikat talian tetap berbanding dengan syarikat mudah alih berikutan prospek pertumbuhan lebih teguh dan lebih menonjol yang dipaparkan," kata Tan.

Share this article
Follow