Pusat Media

MCMC sekat 1.826 laman palsu dari 2020 hingga Mei 2022

15 Ogo 2022, Utusan
KUALA LUMPUR : Menyedari kegiatan penipuan (scam) secara dalam talian atau luar talian masih berleluasa di negara ini, kerajaan tidak sesekali berkompromi atau memberi ruang untuk jenayah itu berkembang dalam komuniti. 

Semua lapisan masyarakat tidak kira latar belakang, peringkat umur dan tahap pendapatan berisiko terdedah kepada kes-kes penipuan dan tanpa langkah-langkah proaktif akan menyebabkan kegiatan itu sukar diatasi. 

Untuk rekod, sejumlah 5,513 aduan berunsur penipuan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara tahun 2020 sehingga Mei 2022. Ia telah dirujuk kepada agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan untuk tindakan lanjut. 

MCMC berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani isu tersebut. 

Katanya, jalinan kerjasama itu meliputi aspek bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital serta pelaksanaan tindakan sekatan berdasarkan permohonan daripada pihak berkuasa terlibat. 

Beliau menambah, MCMC juga mengambil tindakan menyekat akses kepada laman-laman palsu dikenali sebagai pishing, menyaksikan sejumlah 1,826 laman palsu sejak tahun 2020 hingga Mei 2022. 

“Ini melalui laporan awam dan usaha sama pemantauan institusi-institusi perbankan yang terlibat dalam Internet Banking Task Force (UBTF) diketuai BNM.

“MCMC turut membentuk pasukan petugas khas bagi penipuan telekomunikasi dengan kerjasama syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM.

“Melalui usaha sama oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini, sejumlah 1.6 bilion panggilan meragukan berjaya disekat daripada sampai kepada pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, MCMC sedang giat merangka keperluan bagi mewujudkan garis panduan baharu untuk mengekang penipuan melalui perkhidmatan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Ini selain beberapa kempen kesedaran dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan dan PDRM melalui media sosial serta penyiaran seperti televisyen dan radio.

“Program-program kesedaran melalui Klik Dengan Bijak (KDB) dan Malaysian ICT Volunteer (MIV) akan diteruskan dan diperkasakan dengan mesej advokasi terkini, terutama mendidik masyarakat termasuk golongan muda dan kanak-kanak tentang modus operandi penipuan,” katanya.

Selain itu, individu yang telah diperdaya oleh jenayah penipuan, mereka perlu tampil membuat laporan polis segera menyimpan bukti berkaitan iaitu mesej teks, cetakan skrin, rakaman audio panggilan yang boleh membantu pihak polis menjalankan siasatan manakala MCMC memberikan bantuan teknikal jika diperlukan.

Katanya, dalam menjejak penjenayah dan mengembalikan kerugian dialami mangsa, Jawatankuasa Jenayah Siber yang telah ditubuhkan terus digerak dan diperkasakan bagi menerajui tindakan lebih strategik dan tersusun antara MCMC dan PDRM. – UTUSAN



 
Kongsi artikel ini
Follow