Media & Events

MCMC sasar 80% kawasan penduduk dapat akses 5G menjelang 2024

23 Jun 2022, Berita RTM
KUALA LUMPUR, 23 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyasarkan 80% kawasan penduduk terutama di pedalaman akan mendapat akses perkhidmatan 5G secara menyeluruh menjelang tahun 2024.

Menurut Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin, usaha tersebut sedang dipergiatkan dengan memberi lebih tumpuan dan komitmen secara berterusan.

"Pemantauan dari segi disiplin untuk memenuhi, mencapai sasaran itu memang sangat memberi penekanan yang lebih supaya apa jua halangan, kita boleh atasi," kata beliau ketika ditemu bual Berita RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, di sini.

Tambah Zulkarnain, setakat ini fasa 1A telah mencapai sasaran iaitu meliputi kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.

Manakala fasa 1B masih sedang berjalan dan pihak MCMC menganggarkan 36% kawasan tersebut dapat mengakses perkhidmatan 5G pada penghujung tahun ini.

Sebanyak 1,250 stesen pemancar 5G telah tersedia dengan liputan diluaskan ke negeri Johor, Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Perak.
Share this article
Follow