Media & Events

Liputan telekomunikasi di Kampung Lebur Jaya ditambah baik - MCMC

12 Feb 2023

GUA MUSANG: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menambah baik liputan telefon dan capaian internet di Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis, dekat sini.

MCMC dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya ke kampung berkenaan pada Jumaat lalu bagi memahami dan menjelaskan isu liputan di kawasan berkenaan kepada pengadu.

Kenyataan itu turut menjelaskan bentuk muka bumi yang berbukit menyebabkan kira-kira 100 penduduk kampung itu mendapat talian telefon dan capaian internet lemah sejak 10 tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan lokasi berkenaan mendapat liputan 4G yang lemah dan ditambah jarak menara dari kampung berkenaan adalah kira-kira 2.3 kilometer (km).

"Terdapat menara 4G sedia ada kira-kira 2.3km dari lokasi penduduk, selain bentuk muka bumi yang berbukit-bukau menyebabkan lokasi berkenaan mendapat liputan 4G yang lemah dari menara berkenaan.

"MCMC sudah memasukkan kawasan ini dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2," katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini media melaporkan, kira-kira 100 penduduk Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis terpaksa ke kawasan berbukit dan berada di bawah pokok nangka di hadapan rumah bagi mendapatkan capaian internet hampir 10 tahun lalu.

Penduduk mendakwa kampung itu hanya menumpang talian daripada menara telekomunikasi yang terletak di Kuala Betis kira-kira tujuh km dari kampung itu.

Share this article
Follow