Media & Events

Lima cara kenal pasti berita palsu, peranan portal Sebenarnya.my

07 Sep 2022, Utusan TV
DALAM era globalisasi ketika ini, orang ramai tidak perlu lagi menunggu sehingga hari esok untuk mendapatkan ebrita terkini. 

Ini kerana semua maklumat terkini disampaikan dengan pantas sama ada menerusi media elektronik atau pun dalam media sosial.

Bagaimanapun, tidak semua berita yang dibaca itu adalah fakta sebenar terutamanya berita yang ditularkan dalam media sosial. 

Sejak akhir-akhir ini, banyak maklumat yang disampaikan itu sebenarnya adalah berita palsu yang akhirnya menimbulkan kebimbangan masyarakat. 

Jadi, bagaimana untuk anda mengenal pasti berita palsu?

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkongsi lima (5) cara terbaik untuk mengenal pasti berita palsu. 

Siasat Sumber Atau Bukti

Pastikan bahawa artikel/cerita ditulis oleh sebuah sumber yang boleh dipercayai dan mempunyai reputasi menyiarkan fakta yang tepat. 

Kekurangan bukti dan kredibiliti (sebagai contoh, datang dari sumber/organisasi yang kurang dikenali) atau pun daripada pakar yang tidak dinamakan berkemungkinan cenderung kepada berita palsu.

Baca Melewati Tajuk Utama

Jika ada tajuk utama berbaur provokatif yang menarik perhatian anda, buat bacaan lanjut sebelum anda memutuskan untuk berkongsi maklumat berkenaan kepada orang lain.

Malah dalam artikel/cerita yang sah pun, ada kalanya tajuk utama tidak sebenarnya menggambarkan keadaan secara keseluruhannya.

Pertimbangkan Gambar atau Video

Artikel-artikel berita palsu kelazimannya mengandungi imej atau video yang telah dimanipulasi. Ada kalanya, gambar mungkin adalah tulen tetapi telah diambil di luar konteks.

Periksa Tarikh

Periksa tarikh. Artikel-artikel berita palsu berkemungkinan mengandungi garis masa yang tidak logik, ataupun tarikh acara yang telah diubah.

Lihat Laporan-Laporan Lain

Jika tiada sumber berita lain yang melaporkan berita sama, ini berkemungkinan berita berkenaan adalah palsu. Jika berita tersebut dilaporkan oleh pelbagai agensi media yang boleh dipercayai, berkemungkinan berita terbabit adalah benar.

Sekiranya anda masih ragu-ragu dengan berita yang dibaca, kerajaan telah menyediakan satu platform menerusi laman sesawang  dikenali sebagai Sebenarnya.my.

Peranan Portal Sebenarnya.my Dalam Usaha Kekang Berita Palsu

Diwujudkan pada Mac 2017, Sebenarnya.my bertindak sebagai medium penting kepada pengguna melakukan semakan fakta yang boleh dipercayai untuk menapis maklumat-maklumat yang belum ditentusahkan.

Perkara tersebut penting kerana kebangkitan media sosial dan platform secara dalam talian bermakna penyebaran maklumat yang mengelirukan boleh berlaku dalam sekelip mata.

Menerusi portal Sebenarnya.my, ia menawarkan dua C iaitu Check – menyemak sebarang kandungan diterima yang belum ditentusahkan dan Channel – berkongsi sebarang berita tidak ditentusahkan kepada portal Sebenarnya.my bagi membolehkan MCMC  menentukan kesahihan dengan agensi-agensi yang berkaitan yang mempunyai bidang kuasa ke atas isu berkenaan.

Portal Sebenarnya.my hanya memfokuskan kepada topik-topik berita tempatan/isu yang menjejaskan kepentingan awam atau nasional, yang mana kesahihan berita boleh ditentusahkan oleh saluran-saluran rasmi atau agensi-agensi Kerajaan (berpandukan kepada peranan agensi, bidang kuasanya serta kepakaran mereka).

Sebenarnya.my kini telah menjadi salah satu sumber rujukan bagi orang ramai menentukan kesahihan sesuatu berita yang tular. Sehingga 30 Jun 2022, portal tersebut menerima 300 juta layaran semenjak dilancarkan dan secara purata menerima sehingga 4.76 juta “hits” setiap bulan.

Selain itu, Sebenarnya.my juga telah menerima 15,448 penyaluran maklumat daripada orang awam (maklumat mengenai berita yang tidak ditentusahkan kesahihannya), dengan purata sebanyak 244 saluran maklumat setiap bulan.

Peningkatan yang mendadak telah berlaku terhadap ‘hits’ dan penyaluran maklumat adalah ekoran daripada penularan berita-berita yang diragui kesahihannya berkenaan pandemik COVID-19 yang sedang melanda.

Bagi kandungan melibatkan COVID-19, sejumlah 571 artikel telah diterbitkan di portal Sebenarnya.my melibatkan mitigasi berita palsu, penjelasan serta memupuk kewaspadaan orang ramai berkenaan penyebaran berita melibatkan COVID-19.

Pemerhatian dari aspek perkongsian maklumat daripada sumber portal Sebenarnya.my oleh masyarakat awam di media-media sosial memberi indikasi yang positif dari segi keberkesanan portal di dalam membantu menangani masalah penularan maklumat serta berita yang tidak sahih atau palsu dalam talian.

Penyediaan platform ini akan memudahkan orang awam memeriksa kesahihan maklumat yang ditentusahkan pada bila-bila masa di mana jua. Aplikasi Sebenarnya.my juga boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store. Ia akan membantu pengguna untuk menerima notifikasi secara ‘real-time’.

Satu saluran Telegram rasmi Sebenarnya.my juga telah diwujudkan di pautan https://t.me/sebenarnyamy  pada 16 Mac 2020, dan mempunyai lebih 24,800 subscribers setakat ini.

Manfaat yang paling berguna adalah dapat membudayakan amalan menyemak serta mendidik masyarakat agar lebih celik fakta, mahir menganalisis berita dan sentiasa berwaspada sebelum bertindak menyebarkan sebarang maklumat, terutamanya yang diragui kesahihannya.

Pendekatan pendidikan dan advokasi melalui portal Sebenarnya.my boleh menjadi penyelesaian jangka panjang dalam membentuk budaya bermedia sosial yang lebih matang, efektif, mampan dan sesuai dengan nilai murni Malaysia, seterusnya memperkasakan rakyat Malaysia ke arah melahirkan warga digital masa depan yang bertanggungjawab.

Share this article
Follow