Media & Events

Kerjasama sektor awam dan swasta perlu dalam harungi perubahan pantas teknologi - Annuar Musa

31 May 2022, Bernama

SINGAPURA - Dalam mengharungi kepesatan kemajuan teknologi, ekosistem ekonomi digital negara memerlukan penglibatan erat sektor awam dan swasta, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa, Setiap teknologi yang diperkenal memerlukan kawalselia tertentu, yang hampir mustahil dilaksanakan jika kerajaan bertindak perlahan dalam membuat perubahan sementara memberi peluang kepada sektor swasta untuk terus berkembang, katanya. 

"Dalam kebanyakan kes, agensi kerajaan terutamanya cenderung sangat tegar dengan peraturan dan lambat daripada segi penerimaan dan pengubahsuaian,"katanya pada sesi bertajuk "Teknologi, Masyarakat dan Peranan Dasar" yang diadakan sempena Asia Tech X Singapore (ATxSG) 2022. 

Annuar, yang merupakan ahli panel pada sesi itu, berkata oleh itu kerajaan perlu mendengar daripada lebih pihak industri memandangkan perubahan pantas teknologi dipacu oleh sektor swasta. "Kerjasama sebegini antara kerajaan dan sektor swasta akan menyediakan ekosistem yang lebih kondusif dan akhirnya akan berkembang dengan cara yang lebih sihat. Oleh itu, lebih banyak usaha mesti dilakukan," kata Annuar. 

Anggota panel bersama yang lain ialah Menteri Keusahawaan dan Teknologi Maklumat (Estonia) Andres Sutt, Menteri Komunikasi dan Infomatik (Indonesia) Johnny G Plate, dan Ketua Eksekutif Forum Kerjasama Peraturan Digital (UK), Gill Whitehead. Menjelaskan lebih lanjut kepada Bernama selepas sesi itu, Annuar berkata: "Ekosistem digital berkembang pesat namun undang-undang tidak kerap dipinda oleh penggubal undang-undang. Kadang-kadang, ia mengambil masa  bertahun-tahun untuk membuat pindaan. Oleh itu, berikutan perkembangan pesat..peraturan kawal selia dan perundangan menjadi lapuk dalam tempoh yang sangat singkat," katanya. 

"Oleh itu kerajaan mesti dengar dan perlu banyak terlibat dengan sektor swasta kerana merekalah yang akan melaksana dan memperkenalkan teknologi baharu, dan merekalah yang benar-benar memahami trend yang akan berlaku dalam masa terdekat. Pihak industri akan menghadapi masalah jika kerajaan tidak dapat menyediakan satu rangka kerja yang kondusif. Akhirnya nanti, rakyat akan menghadapi banyak masalah kerana tidak dapat menampung teknologi yang berubah pantas,"katanya. 

Annuar memberi contoh undang-undang berkaitan 'berita palsu' tidak mampu ditangani kerana masalah tersebut sentiasa berubah. Ia menjadi lebih rumit jika sumber "berita palsu bukan dari dalam negara, sebaliknya datang dari negara-negara yang mempunyai set peraturan yang berbeza," katanya. 

ATxSG disifatkan sebagai acara teknologi terbesar yang dianjurkan oelh Singapura sejak pembukaan semula sempadannya dan akan berlangsung selama empat hari hingga 3 Jun 2022. Acara itu juga akan menyaksikan penyertaan eksekutif kanan daripada syarikat teknologi terbesar dan paling pesat berkembang di dunia seperti Perkhidmatan Web Amazon, Epic Games, google, IBM, Microsoft dan Kumpulan Ping An. 

Share this article
Follow