Pusat Media

Jenis Penipuan Scammer! Hati-Hati Anda Mungkin Mangsa Seterusnya

13 Jul 2022, Rotikaya
Anda pernah tak terfikir macam mana lah orang boleh senang-senang jer kena tipu dengan scammer, takkan lah tak boleh detect? Haa, kita cakap macam senang jer kan, tapi percayalah geng-geng scammer ni bijak betul kalau nak pergunakan orang! Kita sendiri pun susah nak sedar yang kita ditipu.

Kalau anda nak tahu, taktik yang dorang gunakan tu pergh memang mantap bhai. Even geng-geng orang kaya, jutawan-jutawan pun pernah jadi mangsa tau.

Oleh itu, anda perlu berwaspada dan sentiasa ambil tahu jenis-jenis scammer yang bakal kami bongkarkan di dalam artikel ini. At least ada juga langkah-langkah berjaga. Berkemungkinan besar anda boleh jadi mangsa seterusnya. Fuh, harap tak lah, risau pula.

Kegiatan penipuan ataupun 'scam' sama ada secara dalam talian (online) ataupun luar talian (offline) adalah tertakluk di bawah bidang kuasa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi-agensi berkenaan; tertakluk kepada bentuk-bentuk penipuan yang dijalankan. 

Bagi tempoh antara tahun 2020 sehingga Mei 2022, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima sejumlah 5,513 aduan berunsur penipuan. Aduan-aduan yang diterima seterusnya dirujuk kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa mereka. 

Jenis-jenis Scammer

1. Scam Cinta

Scammer ini agak popular juga di negara kita. Wanita terutamanya selalu menjadi mangsa. Dorang ni aktif di media sosial seperti Facebook dan juga Instagram. Pandai tau dorang ni, ada yang menggunakan gambar profile menampakkan muka yang agak berpotensi untuk wanita mula jatuh cinta (kacaklah kiranya).

Tetapi bila mula chat, memang keluar habis ayat 'google translate' dorang tu gais.Kelakar pula tapi jangan tak tahu, ramai yang 'termakan' dengan ayat dorang ni tau. Kalau dorang ni jumpa mangsa yang tepat, memang habislah! Nak pula kalau terjumpa wanita yang kesepian dan terdesak mencari cinta. 

Taktik dorang ni, pada mulanya mencuri hati, lepastu dorang mula lah mencuri wang anda. Mereka kemudian akan memperdaya anda dengan kata-kata manis mereka dan berharap anda akan jatuh cinta dengan mereka. Kemudian, untuk menunjukkan cinta mereka kepada anda, scammer ini akan cakap dorang nak hantar hadiah mahal kepada anda. Fuh, bukan main yer. 

Tapi awas! Hadiah yang dorang nak hantar tu tadi kononnya tersekat di kastam di lapangan terbang. Jadi, dorang akan meminta anda memindahkan sejumlah wang untuk mendapatkan hadiah tersebut. Kalau anda nak tahu, ada juga sesetengah scammer yang mewujudkan dokumen palsu lagi bagi memperdaya mangsa untuk mempercayai scammer ini. Hebat kan permainan dorang?

Jangan sesekali kongsikan maklumat peribadi dengan orang yang tidak dikenali seperti nama penuh anda, alamat tempat tinggal ataupun tarikh lahir anda okay? Ini antara kes yang membuatkan seorang wanita kehilangan RM500,000!

Anda beringatlah bahawa jangan memindahkan wang kepada orang yang anda tidak kenali atau tidak pernah berjumpa dengannya. Jangan dedahkan nombor akaun bank anda, nombor kad kredit/debit anda. Kalau anda berasa ada sesuatu yang tidak betul atau mencurigakan, lebih baik laporkan kepada pihak berkuasa. 

2. Macau Scam

Sebut jer Macau Scam ni ramai yang tahu kerana ramai mangsa yang terkena. Selalunya dalam kes Macau Scam, ia bermula dengan panggilan telefon. Scammer akan menyamar sebagai pegawai dari Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) atau lain-lain agensi berkaitan contohnya pengutip hutang. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara pihak yang memperhebatkan usaha memerangi sindiket penipuan melalui pengenalan halangan teknikal (technical barriers) yang berhasil menghalang hampir 1.6billion panggilan. 

Walau bagaimanapun, jangan sesekali anda dedahkan sebarang maklumat peribadi anda kepada mana-mana individu yang tidak dikenali iaitu nombor kad pengenalan, nombor akaun bank atau nombor kad kredit yer. 

3. Scam Kerja Part Time

Anda selalu tak dapat mesej dengan ayat seperti ini? “Kerja Mudah Dari Rumah!” “RMXXX-RMXXX Seminggu”. Haa, kalau anda nak tahu ini antara scammer skim kerja dari rumah yang menjanjikan pendapatan yang besar untuk kerja yang mudah.

Ramai yang terjebak kerana sekarang ni memang ramai yang cari kerja part time untuk mendapatkan ‘side income’. Bayangkan anda mendapat pekerjaan tetapi sebenarnya ia hanyalah satu taktik penipuan, pasti anda kecewa kan? Jangan mudah tertipu dengan taktik scammer ini yer!

Anda boleh baca salah seorang mangsa yang tertipu dengan scammer ini.

4. Scam Pinjaman Online

Bila duit gaji dah mula surut, mula lah nak cari duit lebih. Dengar pula ada pinjaman tanpa kadar faedah 0% atau kelulusan pinjaman yang dijamin, mula lah mata tu bersinar-sinar.

Kalau dah mula rasa terdesak, scammer ini pun dah dapat hidu dah ‘bau’ anda. Dorang akan mula mencari mangsa. Mereka akan menyamar sebagai salah seorang daripada institusi kewangan atau platform pinjaman kewangan peribadi.

Selalunya mangsa scam pinjaman online ini daripada anda yang mempunyai rekod CCRIS atau CTOS yang tidak baik dan yang terdesak memerlukan wang tunai. Anda jangan tertipu okay!

5. Scam Parcel

Pelik tak kalau tiba-tiba ada orang call dan memberitahu bahawa ada parcel untuk anda sedangkan anda tidak membeli apa-apa barangan pun? Haa, scam macam ni wujud yer. Mereka akan membuat panggilan, e-mel atau SMS anda kononnya abang-abang yang menghantar barang ni tidak dapat menghantar barangan ke rumah anda.

Scammer ini kemudiannya akan meminta maklumat peribadi anda seperti info mengenai kad kredit/debit untuk meneruskan penghantaran. Jika melalui e-mel, mereka dapat memuat turun ‘malware’ ke dalam komputer anda sekiranya anda klik link yang mereka berikan.

Natijahnya, scammer ini berjaya mengakses maklumat peribadi anda serta kata laluan dan memberikan mereka peluang untuk menggodam akaun perbankan Internet anda. Bahaya betul! Jadi sentiasalah berhati-hati.

Siasatan dan Penguatkuasaan

Walaupun banyak lagi jenis scammer yang ada di negara kita, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak hanya berdiam diri.

Dalam menangani kes-kes penipuan dalam talian ini, pihak MCMC menjalin kerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti pihak PDRM, KPDNHEP, dan BNM meliputi aspek bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital, serta pelaksanaan tindakan sekatan berdasarkan permohonan daripada pihak berkuasa yang berkenaan.

Di samping itu, antara langkah proaktif yang diambil oleh MCMC adalah dengan menyekat akses kepada laman palsu yang dikenali sebagai laman “Phishing”. Untuk info anda, daripada tahun 2020 hingga Mei 2022, sejumlah 1,826 laman berbentuk “phishing” telah disekat di bawah AKM 1998 melalui laporan awam serta usahasama pemantauan institusi-institusi perbankan yang terlibat dalam Internet Banking Task Force (IBTF) yang diketuai oleh Bank Negara Malaysia.

Pihak MCMC turut sentiasa menjalankan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui panggilan dan SMS, yang memberi kesan buruk kepada pengguna dan industri dengan melaksanakan inisiatif berikut:

1. Pembentukan pasukan petugas khas bagi Penipuan Telekomunikasi dengan kerjasama daripada syarikat pemberi perkhidmatan telekomunikasi dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM.
2. Mewujudkan dokumen Rujukan Industri (Industry Reference) dalam pelaksanaan peraturan sekatan yang menggariskan tujuh (7) peraturan sekatan ada tahun 2018 bagi mengurangkan jumlah panggilan yang meragukan dan penambahan lima (5) peraturan sekatan pada tahun 2020 bagi mengekang panggilan sampai kepada pengguna.

Melalui usaha sama oleh penyedia perkhidmatan komunikasi, sejumlah 1.6 bilion panggilan yang meragukan telah berjaya disekat daripada sampai kepada pengguna.

Pihak MCMC sedang giat merangka keperluan untuk mewujudkan suatu Garis Panduan baharu bagi mengekang penipuan melalui perkhidmatan khidmat pesanan ringkas (SMS). Dalam masa yang sama, beberapa kempen kesedaran turut diadakan dengan kerjasama daripada pihak syarikat penyedia perkhidmatan dan PDRM menerusi platform SMS, media sosial dan penyiaran (televisyen dan radio).

Awas! Semua orang boleh menjadi mangsa penipuan. Penipuan scammer ini mensasarkan orang dari semua latar belakang, umur dan juga tahap pendapatan. Tidak ada satu kumpulan atau individu khusus pun yang boleh menjadi mangsa penipuan kerana kita semua terdedah kepada penipuan. Jadi, anda harus berhati-hati yer. Sekiranya ada keraguan berkenaan dengan scammer anda boleh terus menghubungi pihak berkuasa.

Kongsi artikel ini
Follow