Pusat Media

IPT perlu lapor masalah capaian internet kepada KKD

08 Jan 2023, Berita RTM
JOHOR BAHRU, 8 Januari- Pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT), sama ada kerajaan atau swasta perlu melaporkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sekiranya berhadapan isu capaian internet di kawasan kampus.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, KKD akan mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengatasi permasalahan yang dihadapi IPT terutama membabitkan kemudahan pelajar.

"Perkhidmatan rangkaian internet ini merupakan satu keperluan asas yang diperlukan oleh pelajar universiti.

"SKMM dan KKD akan bekerjasama dengan telco untuk pastikan IPT mempunyai rangkaian internet yang baik untuk digunakan pelajar," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu di konti JohorFM dan studio berita sempena lawatan kerja di Jabatan Penyiaran Negeri Johor.

Antara yang dicadangkan adalah menyediakan peruntukan untuk menaik taraf rangkaian WiFi di semua IPT seterusnya meningkatkan aspek pembelajaran dan pengajaran.
Kongsi artikel ini
Follow