Media & Events

Didenda RM5,000 hina Islam, institusi raja

08 Jun 2022, Utusan

MELAKA: Padah menghina raja dan agama Islam di laman sosial Facebook, seorang sukarelawan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku melakukan perbuatan itu, tiga tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Prajiv Lionel Proctor, 40, yang membuat pengakuan tersebut sejurus selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan akaun Facebook miliknya, ‘Lionel Proctor’ secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik menghina agama Islam dan institusi raja.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1 petang di KM4 Bukit Piatu dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Disember 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan tertuduh telah menyesal, insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatannya itu.

Katanya, tertuduh juga menerima kesan langsung akibat perbuatannya itu apabila kehilangan pekerjaan dan terpaksa bergantung kepada kedua ibu bapanya untuk menyara kehidupan.

Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk lebih bertanggungjawab dalam melontarkan komen di media sosial.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, hakim menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Share this article
Follow