Media & Events

Dekoder percuma untuk golongan berpendapatan paling rendah

24 Oct 2019, bernama

KUALA LUMPUR, 23 Okt -- Pemberian set dekoder siaran televisyen digital secara percuma buat masa ini hanya melibatkan dua juta isi rumah berpendapatan paling rendah dalam negara.

Ketua Jabatan Platform Penciptaan Digital dan Pengedaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Azlina Mohd Yusof berkata kriteria itu menjadi penanda aras dalam pemberian tersebut dan bukanlah sama ada seseorang itu penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau tergolong dalam kumpulan B40 semata-mata.

“Mereka yang tidak layak menerima itu adalah kerana (pendapatan isi rumah) mereka melebihi daripada pendapatan dua juta individu dengan pendapatan terendah (dalam negara).

“Oleh sebab itu, ada semakan (untuk dapatkan dekoder percuma) oleh golongan B40 atau mereka yang dapat BSH tetapi tidak dapat dekoder percuma… ini kerana kita hadkan kepada dua juta dahulu,” katanya ketika ditemui selepas program bual bicara di Bernama Radio, hari ini.

Pada 17 Okt lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kementeriannya sedang berusaha memastikan lebih ramai golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 menerima set dekoder siaran televisyen digital secara percuma.

Gobind berkata pihaknya masih berbincang dengan syarikat pengedar dekoder tersebut serta mengumpulkan maklumat, untuk menentukan individu yang layak menerimanya.

Peralihan siaran TV analog ke TV Digital myFreeview akan bermula di wilayah Tengah dan Selatan pada 30 Sept, wilayah Utara dan Timur pada 14 Okt, manakala Sabah dan Sarawak pada 31 Okt.

Sementara itu, Azlina berkata melalui TV Digital myFreeview penonton boleh menikmati sebanyak 15 saluran TV dan enam saluran radio secara percuma.

Menurutnya, lebih banyak saluran lain bakal ditambah pada masa hadapan termasuk beberapa cadangan untuk memasukkan saluran dengan genre filem dari negara Korea Selatan dan Indonesia malahan saluran khas untuk masakan.

“MCMC telah keluarkan 15 lesen penyedia kandungan TV kepada beberapa syarikat berminat bagi menambah kandungan dan meningkatkan kualiti siaran TV digital di Malaysia.

“Mungkin sebelum hujung tahun ini kita akan dapat siarkan (saluran baharu itu), (mungkin) dua atau tiga penyedia kandungan akan melancarkan kandungan baru mereka melalui platform myFreeview,” tambahnya.

Share this article
Follow