Media & Events

Dakwaan 800,000 kakitangan awam dikurangkan, SKMM siasat laporan berita

18 Feb 2023, Harian Metro

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti tindakan yang akan diambil membabitkan laporan sebuah berita berhubung pengurangan 800,000 kakitangan awam.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kandungan berita organisasi media itu dilihat sudah beberapa kali melanggar dan menerbitkan bahan tidak mematuhi peraturan digariskan SKMM.

"Saya difahamkan SKMM sudah meneliti dan pihak berkenaan sudah beberapa kali menerbitkan bahan pada pemerhatian SKMM tidak mematuhi peraturan.

"Ketika ini SKMM sedang meneliti dan menilai serta berhubung dengan pihak berkenaan, mungkin beri sedikit masa.

"Bagaimanapun, bagi saya yang penting ada beza menerbitkan berita dan menerbitkan fitnah, ada beza hak untuk bersuara dan hak untuk media bebas menjalankan tugas," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Program Jelajah Saya Digital di Lembah Pantai, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan berita sebuah media berhubung isu pengurangan 800,000 kakitangan awam.

Fahmi berkata, SKMM akan memaklumkan status siasatan dalam masa terdekat.

"Saya juga serahkan kepada pihak berkuasa sama ada mahu melakukan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

"Peringatan kepada diri saya sendiri, orang ramai termasuk wartawan, editor dan pemilik media, kita kena sama-sama memainkan peranan memastikan sebarang kandungan bukan hanya laporan berita tetapi kandungan media tidak melanggar undang-undang sedia ada, demi menjamin keharmonian dan kerukunan negara," katanya.

Menerusi perkongsian di Facebook rasminya juga, Fahmi menegaskan pihak kerajaan tidak ada sebarang pelan mahupun perbincangan berhubung pengurangan kakitangan awam itu berikutan kerajaan perpaduan amat menghargai kerjasama penjawat awam selama ini.

"Saya meminta Berita 757 untuk memberi penjelasan mengenai idea dan cadangan mengarut ini," tulisnya.

Sementara itu, mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), Fahmi berkata, perbincangan sedang dilakukan untuk meminda Akta Finas bagi mengelak isu ahli Lembaga Finas menerima geran dan sebarang manfaat daripada dana kerajaan.

"Perdana Menteri sudah menegur isu Dana Kandungan Digital (DKD) dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara membabitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Saya sudah bertemu dengan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan pengurusan Finas untuk memahami secara mendalam apakah yang telah berlaku dan tindakan perlu diambil untuk mengelak masalah ini berulang.

"Saya berpuas hati dengan maklum balas dan penjelasan CEO Finas dan harapan kita, mereka yang memegang jawatan ahli lembaga Finas tidak boleh menerima geran dan manfaat daripada segi kerjaya mereka," katanya.

Menurutnya, tidak wajar sesiapa yang berada dalam lembaga berkenaan mengambil kesempatan.

Menerusi LKAN 2021 Siri 2 mendapati, penyaluran DKD berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli perbadanan.

Semakan audit mendapati DKD RM4 juta disalurkan kepada enam syarikat yang mempunyai kepentingan antaranya milik isteri dan anak ahli lembaga pengarah Finas.

Share this article
Follow