P.U. (A) 419/2002 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT) 2002
BAHAGIAN VI - KUMPULAN WANG PPS
Peraturan 32. Kenyataan terkurang hasil bersih ditentukan
(1) Jika Suruhanjaya mendapati bahawa pemegang lesen telah kurang menyatakan hasil bersihnya yang ditentukan untuk suatu tahun kalendar, Suruhanjaya boleh dengan suatu notis bertulis kepada pemegang lesen—
(a) menyatakan dapatan Suruhanjaya; dan
(b) meminta pemegang lesen untuk menjelaskan secara bertulis kenyataan terkurang hasil bersih ditentukan itu dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis.
(2) Jika penjelasan di bawah perenggan (1)(b) tidak diberikan oleh pemegang lesen dalam tempoh masa yang dinyatakan dalam permintaan itu atau apa-apa pelanjutan masa yang diberikan oleh Suruhanjaya, Suruhanjaya boleh membuat keputusan mengenai hasil bersih ditentukan itu dan keputusan Suruhanjaya adalah muktamad.
(3) Suruhanjaya hendaklah sebelum membuat apa-apa keputusan di bawah subperaturan (2), menimbangkan yang berikut:
(a) penjelasan yang diberikan oleh pemegang lesen, jika ada;
(b) sama ada pemegang lesen telah bertindak dengan suci hati; dan
(c) apa-apa perkara lain yang Suruhanjaya fikirkan relevan.
(4) Jika Suruhanjaya memutuskan bahawa pemegang lesen telah menyata kurang hasil bersihnya yang ditentukan bagi suatu tahun kalendar, Suruhanjaya berhak untuk membuat anggaran sumbangan pemegang lesen menurut peraturan 33.
(5) Walau apa pun Subperaturan (2) dan (4), pemegang lesen yang secara sengaja menyata kurang hasil bersih ditentukan adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini.