P.U. (A) 419/2002 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT) 2002
BAHAGIAN VI - KUMPULAN WANG PPS
Peraturan 27. Sumbangan
(1) Semua pemegang lesen hendaklah menyumbang kepada Kumpulan Wang PPS kecuali pemegang lesen yang jumlah hasil bersih bagi tahun kalendar sebelumnya yang terbit daripada perkhidmatan dinamakan kurang daripada ambang hasil minimum;
[Gan. P.U.(A) 402/2003]
(2) Pemegang lesen yang dikehendaki untuk membuat sumbangan di bawah subperaturan (1) hendaklah menyumbangkan enam peratus daripada hasil bersih ditentukan setiap tahun kepada Kumpulan Wang PPS, melainkan jika Suruhanjaya dengan kelulusan Menteri, melalui notis secara bertulis, memutuskan untuk mengurangkan sumbangan kepada Kumpulan Wang PPS.
[Gan. P.U.(A) 402/2003]
(2A) Bagi maksud mengurangkan sumbangan kepada Kumpulan Wang PPS, Suruhanjaya boleh membuat penilaian dari semasa ke semasa tentang Kumpulan Wang PPS yang diperlukan untuk memenuhi objektif perkhidmatan sejagat dengan mengambil kira prestasi ekonomi industri, jumlah wang yang ada dalam Kumpulan Wang PPS dan apa-apa perkara lain yang disifatkan patut dan perlu oleh Suruhanjaya.
[Mas. P.U.(A) 402/2003]
(3) Bayaran sumbangan yang disebut dalam subperaturan (1) hendaklah di buat dalam—
(a) suatu bayaran sekali gus, tidak lewat daripada tiga puluh hari dari tarikh pemberitahuan penerimaan penyata di bawah subperaturan 31(1); atau
(b) dua jumlah ansuran yang sama—
(i) ansuran pertama, tidak lewat daripada tiga puluh hari dari tarikh pemberitahuan penerimaan penyata di bawah subperaturan 31(1); dan
(ii) ansuran kedua, tidak lewat daripada enam bulan dari tarikh pemberitahuan penerimaan penyata di bawah subperaturan 31(1).
(4) Hasil bersih ditentukan diterbitkan menurut penghitungan yang dinyatakan dalam Susunan B dalam Jadual.
(5) Seseorang pemegang lesen yang tidak membuat pembayaran sumbangan menurut peraturan ini melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini.