P.U. (A) 419/2002 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT) 2002
BAHAGIAN V - PENGEKOSAN PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT
Peraturan 21. Tuntutan yang berlebih-lebihan
(1) Jika Suruhanjaya mendapati bahawa pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan telah menyatakan tuntutannya berlebih-lebihan berkenaan dengan kos yang dilakukan dalam pelaksanaan rancangan perkhidmatan sejagat yang diluluskan dalam sasaran perkhidmatan sejagat bagi sesuatu tahun kalendar, Suruhanjaya boleh, melalui pemberitahuan bertulis kepada pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan itu—
(a) menyatakan dapatan Suruhanjaya; dan
(b) meminta pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan untuk menjelaskan secara bertulis lebihan itu dalam tempoh masa yang dinyatakan.
(2) Jika penjelasan di bawah perenggan (1)(b) tidak diberikan oleh pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan dalam tempoh yang dinyatakan dalam permintaan itu atau apa-apa pelanjutan masa yang diberikan oleh Suruhanjaya, Suruhanjaya boleh membuat keputusan terhadap tuntutan yang dibuat dan keputusan Suruhanjaya itu adalah muktamad.
(3) Suruhanjaya hendaklah, sebelum membuat keputusan di bawah subperaturan (2) menimbangkan yang berikut:
(a) penjelasan yang diberikan oleh pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan, jika ada;
(b) sama ada pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan bertindak dengan suci hati; dan
(c) apa-apa perkara lain yang Suruhanjaya fikirkan relevan.
(4) Jika Suruhanjaya memutuskan bahawa pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan telah menyatakan tuntutannya secara berlebih-lebihan bagi suatu tahun kalendar, Suruhanjaya berhak untuk membuat anggaran tuntutan pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan bagi tahun kalendar itu dan anggaran Suruhanjaya itu adalah muktamad.
(5) Walau apa pun subperaturan (2) dan (4), pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan yang secara sengaja mengemukakan tuntutan yang berlebih-lebihan atau membuat tuntutan bagi kos yang tidak dilakukan dalam melaksanakan rancangan perkhidmatan sejagat yang diluluskan dalam sasaran perkhidmatan sejagat melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini.