P.U. (A) 419/2002 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT) 2002
BAHAGIAN V - PENGEKOSAN PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT
Peraturan 19. Prinsip am
(1) Suruhanjaya hendaklah membayar kepada pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan daripada Kumpulan Wang PPS kos PPS bersih yang dilakukan dalam melaksanakan rancangan perkhidmatan sejagat yang diluluskan dalam sasaran perkhidmatan sejagat.
[Pin. P.U.(A) 402/2003]
(2) Kos PPS bersih yang dilakukan dalam melaksanakan rancangan perkhidmatan sejagat yang diluluskan dalam sasaran perkhidmatan sejagat adalah dikira sebagai kos boleh elak yang dinyatakan dalam ruang (1) Susunan A Jadual selepas ditolak hasil yang diketepikan yang dinyatakan dalam ruang (2) Susunan A Jadual dan selepas ditolak apa-apa bayaran pendahuluan yang dibuat menurut peraturan 12.
[Pin. P.U.(A) 402/2003]
(3) Suruhanjaya hendaklah mengeluarkan apa-apa garis panduan untuk menjelaskan komponen kos boleh elak dan hasil yang diketepikan yang dinyatakan dalam Susunan A Jadual dan apa-apa perkara yang berkaitan dengannya dari semasa ke semasa.
(4) Garis panduan yang dikeluarkan di bawah subperaturan (3) hendaklah disiarkan oleh Suruhanjaya mengikut cara yang difikirkannya sesuai.
(5) Bagi maksud Peraturan - Peraturan ini—
[Pin. P.U.(A) 402/2003]
(a) kos boleh elak ertinya kos yang pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan boleh elakkan jika dia tidak dikehendaki memberikan perkhidmatan dalam sasaran perkhidmatan sejagat; dan
(b) hasil yang diketepikan ertinya hasil yang pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan boleh ketepikan jika dia tidak dikehendaki memberikan perkhidmatan dalam sasaran perkhidmatan sejagat.
(6) Suatu sasaran perkhidmatan sejagat hendaklah dikeluarkan dari senarai sasaran perkhidmatan sejagat apabila tiada kos PPS bersih yang boleh dituntut dari sasaran perkhidmatan sejagat tersebut oleh pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan untuk tiga tahun berturut-turut.