P.U. (A) 419/2002 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT) 2002
BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN RANCANGAN PERKHIDMATAN SEJAGAT DAN PENAMAAN PEMBERI PERKHIDMATAN SEJAGAT
Peraturan 10. Penamaan mandatori pemberi perkhidmatan sejagat oleh Suruhanjaya
(1) Jika—
(a) tiada pemegang lesen mendaftarkan minat menurut pelawaan untuk suatu sasaran perkhidmatan sejagat yang tertentu;
(b) tiada draf rancangan perkhidmatan sejagat dikemukakan dalam tempoh masa yang ditetapkan walaupun pemegang lesen telah mendaftarkan minat mereka menurut pelawaan untuk suatu sasaran perkhidmatan sejagat yang tertentu; atau
(c) Suruhanjaya menolak semua draf rancangan perkhidmatan sejagat menurut perenggan 8(1)(c),
Suruhanjaya mempunyai budi bicara mutlak untuk menamakan, dengan memberi notis secara bertulis, mana-mana pemegang lesen yang pada pendapat Suruhanjaya adalah sesuai sebagai pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan untuk sasaran perkhidmatan sejagat tersebut.
(2) Suruhanjaya hendaklah mempertimbangkan keperluan suatu sasaran perkhidmatan sejagat, skop lesen dan pengalaman pemegang lesen sebelum memutuskan tentang pemegang lesen yang sesuai sebagai pemberi perkhidmatan sejagat dinamakan.
(3) Mana-mana pemegang lesen yang dinamakan di bawah subperaturan (1) hendaklah mengemukakan kepada Suruhanjaya suatu draf rancangan perkhidmatan sejagat mengikut subperaturan 6(2) dalam masa sembilan puluh hari dari tarikh penamaan itu.
(4) Pemegang lesen yang dinamakan yang tidak mematuhi subperaturan (3) melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini.