P.U. (A) 419/2002 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT) 2002
BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN RANCANGAN PERKHIDMATAN SEJAGAT DAN PENAMAAN PEMBERI PERKHIDMATAN SEJAGAT
Peraturan 6. Obligasi untuk mengemukakan draf rancangan perkhidmatan sejagat
(1) Mana-mana pemegang lesen yang telah mendaftarkan minat dengan Suruhanjaya menurut pelawaan di bawah peraturan 5
hendaklah mengemukakan draf rancangan perkhidmatan sejagat mereka dalam tempoh masa yang dinyatakan dalam pelawaan itu.
[Gan. P.U.(A) 402/2003]
(2) Draf rancangan perkhidmatan sejagat hendaklah dikemukakan secara bertulis berserta dengan maklumat yang berikut:
(a) butiran terperinci lokasi dalam sasaran perkhidmatan sejagat, di mana rancangan tersebut adalah terpakai;
(b) butiran terperinci jenis kemudahan rangkaian yang akan dipasang dalam sasaran perkhidmatan sejagat;
(c) butiran terperinci teknologi yang akan digunakan berkenaan dengan sasaran perkhidmatan sejagat itu;
(d) jadual waktu untuk memberikan perkhidmatan aplikasi;
(e) kos modal bagi pemasangan kemudahan rangkaian atau pemberian perkhidmatan rangkaian dan/atau perkhidmatan aplikasi dalam sasaran perkhidmatan sejagat;
(f) anggaran kos operasi bagi pelaksanaan rancangan perkhidmatan sejagat; dan
(g) apa-apa perkara lain yang dikehendaki oleh Suruhanjaya.
(3) Pemegang lesen yang tidak mematuhi peraturan ini melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini.