P.U. (A) 419/2002 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT) 2002
BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN RANCANGAN PERKHIDMATAN SEJAGAT DAN PENAMAAN PEMBERI PERKHIDMATAN SEJAGAT
Peraturan 5. Pelawaan untuk mengemukakan draf rancangan perkhidmatan sejagat.
(1) Apabila pemberitahuan disiarkan di bawah subperaturan 4(1), Suruhanjaya bolehlah mempelawa semua pemegang lesen untuk mendaftarkan minat mereka untuk menjadi pemberi perkhidmatan sejagat dalam suatu sasaran perkhidmatan sejagat yang tertentu.
(2) Pelawaan di bawah subperaturan (1) hendaklah mengandungi yang berikut:
(a) maklumat spesifik berkenaan dengan sasaran perkhidmatan sejagat seperti keutamaan objektif perkhidmatan sejagat, jika ada, dan demografi sasaran perkhidmatan sejagat itu;
(b) jumlah poin capaian kolektif atau poin capaian individu yang perlu dipasang dalam sasaran perkhidmatan sejagat, tempoh masa yang relevan dan butir-butir lain yang penting bagi penyediaan draf rancangan perkhidmatan sejagat berhubung dengan sasaran perkhidmatan sejagat itu;
(c) butiran terperinci komponen kos yang boleh dituntut daripada Kumpulan Wang PPS;
(d) tatacara bagi mendaftarkan minat pemegang lesen;
(e) tempoh masa bagi pemegang lesen untuk mendaftarkan minat mereka;
(f) tatacara dan maklumat lain yang relevan yang berhubungan dengan pengemukaan draf rancangan perkhidmatan sejagat;
(g) tempoh masa bagi pengemukaan draf rancangan perkhidmatan sejagat kepada Suruhanjaya; dan
(h) apa-apa perkara lain sebagaimana yang difikirkan relevan oleh Suruhanjaya.