P.U. (A) 419/2002 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (PEMBERIAN PERKHIDMATAN SEJAGAT) 2002
BAHAGIAN I - PERMULAAN
Peraturan 2. Tafsiran
Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
"ambang hasil minimum" ertinya—
(a) sehingga 31 Disember 2003, jumlah minimum sebanyak lima ratus ribu ringgit; dan
(b) mulai 1 Januari 2004, jumlah minimum sebanyak dua juta ringgit;
"capaian individu" ertinya capaian kepada perkhidmatan aplikasi oleh mana-mana orang dalam suatu sasaran perkhidmatan sejagat dan yang baginya orang tersebut akan bertanggungjawab bagi semua caj termasuk sewaan;
"capaian kolektif" ertinya capaian kepada perkhidmatan aplikasi oleh anggota masyarakat dalam suatu sasaran perkhidmatan sejagat dan yang baginya anggota masyarakat tidak membayar apa-apa sewaan atau caj lain selain caj panggilan bagi telefoni dan caj perkhidmatan capaian Internet;
[Mas. P.U.(A) 402/2003]
"faktor penentu" ertinya faktor pendaraban yang dipakai atas hasil terbitan daripada perkhidmatan dinamakan bagi mengira sumbangan kepada Kumpulan Wang PPS sebagaimana yang dinyatakan dalam peraturan 28;
[Pin. P.U.(A) 402/2003]
"hasil bersih" ertinya hasil kasar setelah ditolak pembayaran keluar kepada pemegang lesen lain seperti caj sambungtara dan
berkenaan dengan panggilan antarabangsa, bayaran kepada pemberi kemudahan rangkaian asing, pemberi perkhidmatan rangkaian asing atau pemberi perkhidmatan aplikasi asing lain;
[Mas. P.U.(A) 402/2003]
"hasil bersih ditentukan" ertinya hasil bersih didarabkan dengan faktor penentu;
[Gan. P.U.(A) 402/2003]
"hasil kasar" ertinya bayaran yang diterima oleh pemegang lesen untuk perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan setelah
ditolak apa-apa diskaun yang diberikan;
[Mas. P.U.(A) 402/2003]
"kadar penembusan nasional" ertinya peratusan jumlah keseluruhan pelanggan RTBA di Malaysia dibahagikan dengan jumlah keseluruhan penduduk yang diunjurkan berdasarkan kepada Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia terkini yang dijalankan
oleh Jabatan Perangkaan;
[Gan. P.U.(A) 402/2003]
"kawasan" mempunyai erti yang sama dengan perkataan "daerah" yang ditakrifkan dalam Kanun Tanah Negara 1965 [Akta 56/1965];
"kawasan yang kurang liputan perkhidmatan" ertinya—
(a) kawasan di mana kadar penembusan untuk pelanggan RTBA di Malaysia ialah dua puluh peratus di bawah kadar
penembusan nasional; atau
(b) mana-mana tempat di mana, pada pendapat Suruhanjaya, perkhidmatan aplikasi tidak disediakan secukupnya untuk masyarakat;
[Gan. P.U.(A) 402/2003]
"kos PPS bersih" ertinya kerugian yang ditanggung, jika ada, oleh pemberi perkhidmatan sejagat kerana menyediakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi kepada suatu sasaran perkhidmatan sejagat dalam pelaksanaan rancangan perkhidmatan sejagat dan diperoleh dengan menggunakan formula kos boleh elak ditolak hasil yang diketepikan dan setelah ditolak apa-apa bayaran pendahuluan yang dibuat menurut peraturan 12;
[Mas. P.U.(A) 402/2003]
"kumpulan yang kurang diberi perkhidmatan dalam masyarakat" ertinya kumpulan orang yang dikaitkan dengan ciri-ciri yang serupa daripada perspektif sosio-kebudayaan atau ekonomi, dalam kawasan yang diberi perkhidmatan, yang tidak mempunyai capaian kolektif dan/atau capaian individu;
[Pin. P.U.(A) 402/2003]
"Kumpulan Wang PPS" ertinya kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 204 Akta;
"panggilan antarabangsa" ertinya panggilan berkesan yang dibuat di antara dua talian ibu sawat yang berhubung melalui pusat pensuisan di Malaysia dengan mana-mana pusat pensuisan di luar Malaysia;
"panggilan bantuan operator" ertinya apa-apa panggilan yang dihubungkan dengan bantuan untuk membuat panggilan sama ada bantuan operator pemberi perkhidmatan aplikasi atau melalui cara yang diautomatikkan;
"panggilan nasional" ertinya panggilan berkesan di antara dua talian ibu sawat yang berhubung melalui pusat pensuisan yang tidak berada dalam daerah caj yang sama dan tidak berada dalam daerah caj yang berdampingan antara satu sama lain;
"panggilan tempatan" ertinya panggilan berkesan di antara dua talian ibu sawat yang—
(a) berhubung dengan pusat pensuisan yang sama;
(b) berhubung dengan pusat pensuisan dalam kawasan caj yang sama; atau
(c) berhubung dengan pusat pensuisan dalam kawasan caj yang berdampingan;
"pemberi perkhidmatan sejagat" ertinya pemegang lesen yang dinamakan menurut peraturan 9 atau 10;
[Pin. P.U.(A) 402/2003]
"pemegang lesen" ertinya mana-mana orang yang—
(a) memegang suatu lesen individu; atau
(b) melakukan aktiviti yang tertakluk kepada suatu lesen kelas,
tetapi tidak termasuk mana-mana orang yang memegang hanya lesen pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan;
[Mas. P.U.(A) 402/2003]
"peranti capaian bergerak bersel" ertinya peranti capaian untuk mencapai suatu rangkaian radio dalam satu daripada jalur bersel;
"perkhidmatan bergerak bersel" ertinya suatu perkhidmatan rangkaian apabila—
(a) seorang pengguna akhir boleh menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian sambil bergerak secara berterusan antara tempat;
(b) peranti capaian bergerak bersel yang digunakan untuk atau berkenaan dengan pembekalan perkhidmatan rangkaian itu tiada hubungan fizikal dengan mana-mana bahagian kemudahan rangkaian yang dengannya perkhidmatan rangkaian itu dibekalkan; dan
(c) perkhidmatan rangkaian itu dibekalkan dengan menggunakan suatu kemudahan rangkaian yang mempunyai fungsi penyerahan antara sel;
"perkhidmatan capaian Internet" ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang dengannya seseorang boleh mendapat capaian kepada perkhidmatan dan aplikasi Internet bersama dengan sama ada sambungan dail atau sambungan terus;
"perkhidmatan panggilan percuma" ertinya perkhidmatan apabila semua caj panggilan ditanggung oleh pihak yang dipanggil;
"perkhidmatan penamatan panggilan kepada pemberi kemudahan rangkaian asing, pemberi perkhidmatan rangkaian asing dan/atau pemberi perkhidmatan aplikasi asing" ertinya suatu perkhidmatan apabila pemberi kemudahan rangkaian asing, pemberi perkhidmatan rangkaian asing dan/atau pemberi perkhidmatan aplikasi asing dibenarkan menamatkan panggilan antarabangsa ke luar yang ditujukan ke Malaysia, melalui pemegang lesen;
"perkhidmatan perayauan antarabangsa" ertinya suatu perkhidmatan apabila seseorang boleh menggunakan peranti capaian bergerak berselnya untuk mencapai suatu perkhidmatan bergerak bersel dalam sebuah negara selain daripada negara di mana dia melanggan perkhidmatan bergerak bersel;
"perkhidmatan perumah teks audio" ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang membolehkan seseorang pemanggil mendail kod pendek '600' atau kod atau nombor lain yang boleh diputuskan oleh Suruhanjaya dari semasa ke semasa bagi maksud menerima suatu pesanan rakaman atau untuk berinteraksi dengan suatu program bagi maksud menerima maklumat;
"perkhidmatan telefoni asas" ertinya suatu perkhidmatan aplikasi bagi penghantaran komunikasi suara dan data tidak termasuk
Internet;
[Mas. P.U.(A) 402/2003]
"perkhidmatan telefon berbayar awam" [Dipotong oleh P.U.(A) 402/2003]
"perkhidmatan dinamakan" ertinya mana-mana perkhidmatan yang disenaraikan dalam ruang (1) Susunan C Jadual;
[Gan. P.U.(A) 402/2003]
"poin capaian individu" ertinya suatu lokasi dalam sasaran perkhidmatan sejagat yang berkenaan di mana capaian individu akan disediakan di bawah suatu rancangan perkhidmatan sejagat;
[Mas. P.U.(A) 402/2003]
"poin capaian kolektif" ertinya suatu lokasi dalam sasaran perkhidmatan sejagat yang berkenaan di mana capaian kolektif akan disediakan di bawah suatu rancangan perkhidmatan sejagat;
[Mas. P.U.(A) 402/2003]
"RDPB" ertinya Rangkaian Digital Perkhidmatan Bersepadu;
"RTBA" ertinya Rangkaian Telefon Bersuis Awam yang merupakan suatu perkhidmatan aplikasi yang melibatkan antara muka gred suara bersuis litar awam bagi penghantaran komunikasi suara dan data;
"rancangan perkhidmatan sejagat" ertinya suatu rancangan yang dinyatakan dalam peraturan 6;
"sasaran perkhidmatan sejagat" ertinya suatu kawasan yang kurang liputan perkhidmatan dan/atau kumpulan yang kurang diberi perkhidmatan dalam masyarakat;
"sumbangan" ertinya amaun yang perlu dibayar oleh seseorang pemegang lesen kepada Kumpulan Wang PPS di bawah peraturan 27;
"talian pajakan" ertinya apa-apa kemudahan yang menyambungkan dua atau lebih premis kepada ibu sawat tanpa menggunakan suis;
"telefon berbayar sewaan" ertinya suatu telefon yang dipasang di premis pelanggan yang telah disewa daripada pemberi perkhidmatan aplikasi atau dipunyai oleh pelanggan bagi maksud penghantaran dan penerimaan utusan telekomunikasi yang baginya pelanggan menghendaki sejumlah wang yang perlu dibayar ke dalam peti kutipan syiling yang disediakan;
"telefoni PI" ertinya telefoni Protokol Internet awam yang merupakan suatu perkhidmatan aplikasi yang melibatkan suatu pemasangan panggilan pelbagai lapisan yang melibatkan suatu litar yang disambungkan dengan suis kepada suis paket antara muka.