P.U. (A) 129/2000 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (PELESENAN) 2000
BAHAGIAN I - PERMULAAN
Peraturan 2. Tafsiran
Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain ---
" Akta-Akta yang dimansuhkan " ertinya Akta Telekomunikasi 1950 [Akta 20] dan " Akta Penyiaran 1988 [Akta 338] yang telah dimansuhkan ;
" amaun yang dibelanjakan " [Dipotong P.U.(A) 298/2001]
" fi lesen tahunan standard " adalah bersamaan dengan 0.5 % daripada pusing ganti kasar ;
[Pin. P.U.(A) 298/2001]
" fi lesen tahunan yang terpakai " ertinya fi lesen tahunan standard ditolak rebat yang terpakai yang disebut dalam ruang 3 dalam Susunan B Jadual Pertama dengan syarat fi lesen tahunan yang terpakai itu tidak kurang daripada 0.15% daripada pusing ganti kasar tahun kewangan sebelumnya bagi pemegang lesen atau lima puluh ribu ringgit, mengikut yang mana-mana yang lebih tinggi ;
"get laluan" ertinya suatu peranti atau atur cara dalam suatu rangkaian komunikasi yang menjadi pengantara muka bagi rangkaian tersebut dengan rangkaian komunikasi antarabangsa;
[Mas. P.U.(A) 144/2005]
" IKS " ertinya Industri Kecil dan Sederhana ;
" kabel dan penghubung tetap " ertinya suatu kemudahan rangkaian untuk membolehkan komunikasi dibuat antara dua stesen, saluran atau nod bersebelahan sesuatu rangkaian dan ialah sebahagian daripada suatu sistem komunikasi ;
"kawasan geografi terhad" ertinya suatu kawasan yang tepat atau tertentu termasuk tetapi tidak terhad kepada—
(a) pemajuan perumahan seperti yang ditakrifkan oleh Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan & Pelesenan) 1966 [Akta 118];
(b) kampus seperti yang ditakrifkan oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30] atau kampus cawangan seperti yang ditakrifkan dalam Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta [Akta 555]; atau
(c) kompleks beli-belah;
[Mas. P.U.(A) 144/2005]
" kemudahan dan perkhidmatan teleks " [Dipotong P.U.(A) 298/2001]
" kemudahan rangkaian berimpak rendah " [Dipotong P.U.(A) 298/2001]
" kemudahan rangkaian dalam suatu bidang atau tujuan terhad " hendaklah mempunyai makna sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 28 (2) ;
" kemudahan rangkaian yang dinamakan " [Dipotong P.U.(A) 298/2001];
"kemudahan telefon berbayar awam" [Dipotong P.U.(A) 144/2005];
" Konvensyen Telekomunikasi Antarabangsa " ertinya Perlembagaan dan Konvensyen Pertubuhan Telekomunikasi, Pertubuhan Telekomunikasi Antarabangsa yang ditandatangani di Geneva dalam tahun 1992 berhubung dengan telekomunikasi, dan termasuklah apa-apa Perlembagaan dan Konvensyen yang kemudian, yang kepadanya Kerajaan menjadi suatu pihak dan ia meliputi apa-apa peraturan-peraturan radiokomunikasi yang dibuat menurut Perlembagaan dan Konvensyen itu ; dan jika apa-apa pindaan Perlembagaan dan Konvensyen itu mula berkuat kuasa berkenaan dengan Malaysia, sebutan-sebutan dalam Peraturan-Peraturan ini hendaklah, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, ditafsirkan sebagai Perlembagaan dan Konvensyen itu sebagaimana yang dipinda ;
" lesen individu pemberi kemudahan rangkaian " ertinya suatu lesen individu yang diberikan kepada seseorang yang mempunyai atau memberikan apa-apa kemudahan rangkaian menurut peruntukan-peruntukan Akta dan Peraturan-Peraturan ini;
[Pin. P.U.(A) 298/2001];
" lesen individu pemberi perkhidmatan aplikasi " [Dipotong P.U.(A) 144/2005];
" lesen individu pemberi perkhidmatan rangkaian " ertinya suatu lesen individu yang diberikan kepada pemberi perkhidmatan rangkaian menurut peruntukan-peruntukan Akta dan Peraturan-Peraturan ini ;
" MPTS " ertinya Mod Pindah Tak Segerak ;
" notis pendaftaran " ertinya suatu notis pendaftaran yang dikemukakan di bawah seksyen 45 Akta ;
" pemancar dan penghubung radiokomunikasi " ertinya ---
(a) suatu pemancar dan penghubung yang direka bentuk atau dimaksudkan untuk digunakan bagi tujuan radiokomunikasi ; atau
(b) apa-apa yang direka bentuk atau dimaksudkan untuk menjadi sampingan kepada, atau berdampingan dengan, pemancar dan penghubung itu bagi tujuan maksud radiokomunikasi ;
" pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan " ertinya seseorang yang memberikan suatu perkhidmatan aplikasi kandungan ;
" pemegang lesen kelas pemberi kemudahan rangkaian " ertinya seseorang yang berdaftar dengan Suruhanjaya untuk mempunyai atau memberikan suatu kemudahan rangkaian menurut Akta dan Peraturan-Peraturan;
[Pin. P.U.(A) 298/2001]
" pemegang lesen individu pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan " ertinya seseorang yang diberi suatu lesen individu pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan menurut peruntukan-peruntukan Akta dan Peraturan-Peraturan ini ;
" pemegang lesen kelas pemberi perkhidmatan aplikasi " ertinya seseorang yang berdaftar dengan Suruhanjaya untuk memberikan suatu perkhidmatan aplikasi menurut Akta dan Peraturan-Peraturan ini ;
" pemegang lesen kelas pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan " ertinya seseorang yang berdaftar dengan Suruhanjaya untuk memberikan suatu perkhidmatan aplikasi kandungan menurut Akta dan Peraturan-Peraturan ini ;
" pemegang lesen kelas pemberi perkhidmatan rangkaian " ertinya seseorang yang berdaftar dengan Suruhanjaya menurut Akta dan Peraturan-Peraturan ini untuk memberikan suatu perkhidmatan rangkaian ;
" penyiaran langganan " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi kandungan yang dengannya kandungan rancangan adalah diberikan kepada orang awam hanya selepas suatu fi langganan dibayar ;
" penyiaran radio terestrial " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi kandungan melalui gelombang radio yang menyiarkan rancangan radio yang -
[Pin. P.U.(A) 298/2001]
(a) bertujuan supaya mempunyai daya tarik kepada orang awam ;
(b) dapat diterima dengan kelengkapan yang biasa diperolehi ; dan
(c) diberikan secara percuma kepada orang awam ;
" penyiaran satelit " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi kandungan yang diagihkan melalui satelit :
" penyiaran TV bebas ke udara terestrial " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi kandungan yang menggunakan jalur frekuensi UHF / VHF ;
" perbelanjaan pembangunan industri " ertinya apa-apa perbelanjaan yang berhubung dengan ---
(a) perbelanjaan modal dan kendalian yang dibelanjakan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan industri ;
[Pin. P.U.(A) 298/2001]
(b) pelaburan dalam latihan dan kemudahan latihan ;
(c) pemerolehan daripada IKS Malaysia ;
(d) pelaburan dalam kepentingan bukan mengawal dalam IKS Malaysia ; dan
(e) pelaburan dalam kandungan rancangan penyiaran tempatan dan perbelanjaan dalam pemerolehan dan pemesanan penerbitan tempatan,
sebagaimana yang ditakrifkan, dari semasa ke semasa, oleh Menteri bagi maksud Peraturan-Peraturan ini ;
"perkhidmatan angkasa lepas" ertinya suatu perkhidmatan radiokomunikasi yang menggunakan suatu stesen angkasa lepas atau mana-mana stesen lain yang terletak melampaui, atau dimaksudkan untuk melampaui, atau telah melampaui, sebahagian
besar atmosfera bumi;
[Mas. P.U.(A) 298/2001]
"perkhidmatan aplikasi capaian" ertinya suatu perkhidmatan rangkaian yang membolehkan seseorang pelanggan mendapat capaian kepada suatu perkhidmatan aplikasi yang diberikan dalam suatu rangkaian;
[Mas. P.U.(A) 298/2001]
" perkhidmatan bantuan diretori " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang membolehkan seseorang, dengan mendail suatu kod atau nombor, memperoleh nombor telefon seseorang pelanggan yang dikehendaki oleh orang itu melalui bantuan operator atau secara automatik ;
" perkhidmatan bergerak bersel " ertinya suatu perkhidmatan rangkaian apabila ---
(a) seorang pengguna akhir boleh menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian sambil bergerak secara berterusan antara tempat ;
[Pin. P.U.(A) 298/2001]
(b) peranti capaian bergerak bersel yang digunakan untuk atau berkenaan dengan pembekalan perkhidmatan rangkaian itu tiada hubungan fizikal dengan mana-mana bahagian kemudahan rangkaian yang dengannya perkhidmatan rangkaian itu dibekalkan ; dan
(c) perkhidmatan rangkaian itu dibekalkan dengan menggunakan suatu kemudahan rangkaian yang mempunyai fungsi penyerahan antara sel ;
"perkhidmatan bersel awam" ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang melibatkan suatu rangkaian stesen pangkalan atau sel bagi penghantaran komunikasi suara dan data;
[Mas. P.U.(A) 298/2001]
" perkhidmatan capaian Internet " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang dengannya seseorang boleh mendapat capaian kepada perkhidmatan dan aplikasi Internet bersama dengan sama ada dengan sambungan dail atau sambungan terus ;
" perkhidmatan capaian pelanggan " [Dipotong P.U.(A) 298/2001]
" perkhidmatan capaian pelanggan dalam suatu bidang " hendaklah mempunyai makna sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 29 (2) ;
" perkhidmatan direktori " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang membolehkan seseorang memperolehi nombor telefon dan maklumat terhad mengenai seseorang pelanggan yang dikehendaki oleh orang itu dan termasuk perkhidmatan bantuan direktori atau perkhidmatan direktori yang diterbitkan;
[Pin. P.U.(A) 298/2001]
" perkhidmatan data suis awam " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi untuk perkhidmatan bukan suara yang melibatkan pensuisan data yang berpunca daripada satu kemudahan rangkaian tertentu kepada yang lain, termasuk perkhidmatan telegram, teleks, RDPB dan MPTS ;
[Pin. P.U.(A) 298/2001]
"perkhidmatan get laluan" ertinya suatu perkhidmatan rangkaian yang memberikan saling hubungan di antara get laluan domestik dengan get laluan antarabangsa;
[Mas. P.U.(A) 144/2005]
" perkhidmatan lebar jalur " ertinya suatu perkhidmatan rangkaian yang terurus yang membolehkan penghantaran unit-unit maklumat dalam suatu penghubung dalam unit tempoh masa tertentu ;
" perkhidmatan pengagihan penyiaran " ertinya suatu perkhidmatan rangkaian yang mengagihkan rancangan televisyen atau radio kepada seseorang yang mempunyai kelengkapan sesuai untuk menerima perkhidmatan rangkaian itu tanpa mengira cara pengagihan tetapi tidak termasuk ---
(a) suatu perkhidmatan (termasuk perkhidmatan teleteks) yang hanya memberikan data atau teks ; atau
(b) suatu perkhidmatan yang membolehkan rancangan tersedia atas permintaan atas dasar poin ke poin, termasuk perkhidmatan terus dail;
[Gan. P.U.(A) 298/2001]
"perkhidmatan pensuisan" ertinya suatu perkhidmatan rangkaian yang—
(a) menamatkan banyak litar; atau
(b) menyalinghubungkan atau mengagihkan lalu lintas antara litar dan sesama litar,
termasuk tanpa terhad kepada penggunaan geganti rangka, kesalingrangkaian hantaran, pensuisan label berbilang protokol, pensuisan protokol internet, pusat pensuisan, tempat-tempat kehadiran atau nod;
[Mas. P.U.(A) 144/2005]
" perkhidmatan perhubungan dalam suatu bidang " hendaklah mempunyai makna sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 29(2) ;
" perkhidmatan perumah teks audio " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang membolehkan seseorang pemangil mendail kod pendek '600' atau kod atau nombor lain yang boleh diputuskan oleh Suruhanjaya dari semasa ke semasa bagi maksud menerima suatu pesanan rakaman atau untuk berinteraksi dengan suatu program bagi maksud menerima maklumat ;
"perkhidmatan pesanan" ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang melibatkan penstoran atau penghantaran semula suatu pesanan dalam bentuk multimedia yang mana pesanan itu dihantar dahulu melalui pusat pengurusan utama sebelum dihantar kepada penerima;
[Gan. P.U.(A) 144/2005]
" perkhidmatan satelit bergerak " [Dipotong P.U.(A) 298/2001]
"perkhidmatan telefon berbayar awam" ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang disediakan di tempat-tempat orang awam
mempunyai capaian yang hanya boleh digunakan untuk berkomunikasi (selain panggilan percuma atau panggilan yang dibuat dengan bantuan operator) jika pengguna, sebaik sahaja sebelum menggunakannya, membuat atau mengatur untuk membuat pembayaran bagi panggilan itu tetapi tidak termasuk telefon berbayar sewaan;';
[Gan. P.U.(A) 298/2001]
" perkhidmatan telefon berbayar persendirian " [Dipotong P.U.(A) 298/2001]
" perkhidmatan telegram " ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang dengannya perkara bertulis dihantar dengan menggunakan mesin teletaip untuk disampaikan kepada penerima ;
" perolehan nilai tambah Malaysia " berhubung dengan Susunan B Jadual Pertama dan berkenaan dengan produk dan perkhidmatan, ertinya harga bekalan produk dan perkhidmatan itu ditolak amaun yang dibelanjakan atas produk dan perkhidmatan yang diimport (termasuk, tanpa had, semua komponen, perisian dan direka bentuk terbenam, pengilangan, pemasangan dan perkhidmatan pembekalan) yang digunakan bagi pembekalan produk dan perkhidmatan itu ;
"pusat pendaratan kabel dasar laut" ertinya suatu kemudahan rangkaian yang padanya kabel dasar laut ditamatkan;
" pusing ganti kasar " ertinya pusing ganti kasar aktiviti berlesen seseorang pemegang lesen individu sepanjang tahun kewangannya ;
"pusat pensuisan" [Dipotong P.U.(A) 144/2005] ;
" RDBP " ertinya Rangkaian Digital Perkhidmatan Bersepadu ;
"stesen angkasa lepas" ertinya suatu stesen yang digunakan atau dimaksudkan untuk digunakan dalam perkhidmatan angkasa
lepas;
[Mas. P.U.(A) 298/2001]
" stesen bumi " ertinya suatu radas yang terletak sama ada di atas permukaan bumi, atau dalam lingkungan sebahagian besar atmosfera bumi dan bertujuan untuk berkomunikasi ---
(a) dengan satu stesen angkasa lepas atau lebih ; atau
(b) dengan satu stesen atau lebih daripada jenis yang sama, melalui satu atau lebih satelit pantulan atau objek lain di
angkasa lepas;
[Gan. P.U.(A) 298/2001]
"stesen kawalan satelit" ertinya suatu stesen bumi yang melakukan fungsi telemetri, telearahan dan mengawal kendalian suatu stesen angkasa lepas;
[Mas. P.U.(A) 298/2001]
"telefon berbayar sewaan" ertinya suatu telefon yang dipasang di premis pelanggan yang telah disewa daripada suatu pemberi
perkhidmatan aplikasi atau dipunyai oleh pelanggan bagi maksud penghantaran dan penerimaan utusan telekomunikasi yang baginya pelanggan menghendaki sejumlah wang yang perlu dibayar ke dalam peti kutipan syiling yang disediakan;
[Mas. P.U.(A) 298/2001]
"telefoni PI" ertinya suatu perkhidmatan aplikasi yang melibatkan suatu pemasangan panggilan pelbagai lapisan yang melibatkan suatu litar yang disambungkan dengan suis kepada suis paket antara muka;
[Gan. P.U.(A) 144/2005]
" RTBA " ertinya Rangkaian Telefon Bersuis Awam yang merupakan suatu perkhidmatan aplikasi yang melibatkan antara muka gred suara bersuis litar awam untuk penghantaran komunikasi suara dan data ;
[Pin. P.U.(A) 298/2001;Pin. P.U.(A) 144/2005]
"tujuan pengajian jarak jauh" ertinya suatu tujuan yang dilaksanakan oleh suatu organisasi atau institusi pendidikan yang bertauliah atau diiktiraf sewajarnya di bawah Akta Pendidikan 1996 [Akta 550], Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta
Universiti Teknologi Mara 1976 [Akta 173] atau Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996;
[Mas. P.U.(A) 144/2005]
" tumpuan satelit " ertinya suatu stesen darat satelit yang berfungsi sebagai suatu kemudahan pengurusan rangkaian dan / atau laluan masuk.