P.U. (A) 128/2000 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (SPEKTRUM) 2000
BAHAGIAN VIII - AM
Peraturan 34. Gangguan spektrum
(1) Suruhanjaya tidak bertanggungjawab bagi apa-apa gangguan kecil, gangguan besar atau gangguan mudarat yang disebabkan oleh apa-apa bahagian spektrum yang diuntukkannya.
(2) Jika suatu radas dipercayai oleh Suruhanjaya menyebabkan gangguan besar atau gangguan mudarat kepada peranti radiokomunikasi radio-sensitif, pemunya atau pengguna radas atau peranti radiokomunikasi radio-sensitif itu hendaklah membenarkan Suruhanjaya memeriksa radas atau peranti radiokomunikasi radio-sensitif itu bagi maksud menentukan sama ada radas itu yang menyebabkan gangguan besar atau gangguan mudarat itu.
(3) Jika radas itu menyebabkan gangguan besar atau gangguan mudarat, Suruhanjaya boleh mengarahkan pemunya atau pengguna radas supaya mengambil atas tanggungannya sendiri, apa-apa langkah yang perlu bagi menghapuskan atau mengurangkan gangguan itu sehingga memuaskan hati Suruhanjaya.
(4) Jika didapati perlu diubahsuai atau diubah suatu radas di bawah subperaturan (2), pengubahsuaian atau pengubahan hendaklah dibuat dalam tempoh yang munasabah dan mengikut terma dan syarat yang dinyatakan oleh Suruhanjaya.
(5) Seseorang yang ---
(a) memancarkan isyarat yang berlebihan;
(b) menjalankan suatu percubaan atau ujian atau mengendalikan apa-apa radas kecuali dalam hal keadaan yang kemungkinan gangguan besar atau gangguan mudarat dielakkan dan kemungkinan gangguan kecil dikurangkan; atau
(c) dengan sengaja menggunakan apa-apa radas dengan cara yang akan menyebabkan gangguan kecil, gangguan besar atau gangguan mudarat,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.