P.U. (A) 124/2000 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (STANDARD TEKNIK) 2000
BAHAGIAN III - KELENGKAPAN KOMUNIKASI
Peraturan 25. Pelupusan kelengkapan komunikasi
(1) Tertakluk kepada subperaturan (2), Suruhanjaya boleh memberikan suatu arahan kepada pembekal supaya melupuskan kelengkapan komunikasi atau apa-apa bahagian daripadanya dengan syarat bahawa Suruhanjaya telah memberitahu pembekal itu tentang niatnya.
(2) Suruhanjaya boleh memberikan suatu arahan di bawah subperaturan (1) jika ---
(a) Suruhanjaya berpuas hati bahawa suatu kelengkapan komunikasi yang diperakui atau apa-apa bahagian daripadanya telah gagal untuk mematuhi Peraturan-Peraturan ini dan standard selepas pemerakuan, dan pembekal tidak berupaya untuk menyelesaikan perkara itu dalam tempoh tidak kurang daripada enam puluh hari ;
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
(b) pemerakuan pematuhan bagi kelengkapan komunikasi telah dibatalkan ; atau
(c) kelengkapan komunikasi atau apa-apa bahagian daripadanya tidak diperakui.
(3) Seseorang yang melanggar subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua belas bulan atau kedua-duanya.