P.U. (A) 124/2000 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (STANDARD TEKNIK) 2000
BAHAGIAN III - KELENGKAPAN KOMUNIKASI
Peraturan 22. Syarat bagi kelengkapan komunikasi yang diperakui
(1) Syarat-syarat yang berikut hendaklah terpakai bagi suatu kelengkapan komunikasi yang diperakui :
(a) pembekal hendaklah memastikan bahawa semua kelengkapan komunikasi yang diperakui mempunyai suatu tanda atau label pemerakuan yang diluluskan oleh Suruhanjaya atau suatu agensi pemerakuan berdaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan, supaya menunjukkan kelengkapan komunikasi yang diperakui itu mematuhi standard;
(b) pembekal hendaklah memohon bagi mendapatkan suatu pemerakuan baru jika apa-apa ubahsuaian atau pengubahan kepada kelengkapan komunikasi yang diperakui mengakibatkan kelengkapan komunikasi itu gagal untuk mematuhi standard;
(c) jika kelengkapan komunikasi didapati rosak selepas pemerakuannya atau disebabkan oleh apa-apa pengubahsuaian atau pengubahan yang dibuat ---
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
(i) dengan keizinan atau pengetahuan pembekal, pembekal itu hendaklah ; atau
(ii) tanpa keizinan atau pengetahuan pembekal, orang yang mengubahsuai atau mengubah kelengkapan komunikasi itu hendaklah,
atas arahan Suruhanjaya atau agensi pemerakuan berdaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan, bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu dalam masa tiga puluh hari selepas diberitahu secara bertulis ;
(d) jika kerosakan di bawah perenggan (c) tidak diselesaikan dan serius, Suruhanjaya atau agensi pemerakuan berdaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh mengarahkan bahawa semua kelengkapan komunikasi yang rosak itu dipanggil balik atas kos dan perbelanjaan, ---
(i) dalam hal subperaturan (c)(i), pembekal ; atau
(ii) dalam hal subperaturan (c)(ii), orang yang mengubah suai atau mengubah kelengkapan komunikasi itu ;
(e) pemerakuan kelengkapan komunikasi tidaklah dengan sendirinya memberi hak kepada pemohon untuk mengendalikan kelengkapan komunikasi itu ;
(f) kelengkapan komunikasi hendaklah tertakluk kepada apa-apa kelulusan lain Suruhanjaya atau suatu agensi pemerakuan berdaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan, sebelum pengendalian kelengkapan komunikasi itu ; dan
(g) apa-apa syarat lain yang boleh diputuskan oleh Suruhanjaya atau suatu agensi pemerakuan berdaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan.
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
(2) Suruhanjaya atau suatu agensi pemerakuan berdaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah mempunyai hak selepas kelengkapan komunikasi itu diperakui untuk menjalankan ujian lanjutan atau apa-apa ujian lain ke atas apa-apa kelengkapan komunikasi yang diperakui yang difikirkan patut olehnya.
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
(3) Suatu pelanggaran apa-apa syarat yang disebut dalam subperaturan (1) adalah merupakan suatu kesalahan.