P.U. (A) 124/2000 PERATURAN-PERATURAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (STANDARD TEKNIK) 2000
BAHAGIAN I - PERMULAAN
Peraturan 2. Tafsiran
Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain ---
" bahasa mudah " ertinya teks prosa tidak termasuk huruf yang diaksenkan, angka atau tanda baca ;
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
" bidang kemahiran yang ditetapkan " ertinya bidang kemahiran yang ditetapkan oleh Suruhanjaya di bawah peraturan 26 ;
" calon " ertinya seseorang yang telah memohon untuk menduduki peperiksaan bagi suatu perakuan kecekapan di bawah Bahagian IV ;
" cekap " , dan ungkapan yang sama jenisnya, ertinya orang yang berkaitan yang disahkan mempunyai tahap kecekapan minimum mengikut standard ;
" diperakui ", dan ungkapan yang sama jenisnya, ertinya pengesahan bahawa standard atau kecekapan di bawah Peraturan-Peraturan ini telah dipatuhi ;
" fi yang ditetapkan " ertinya fi yang berkaitan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya dalam Jadual Pertama ;
" gelombang radio " ertinya frekuensi gelombang elektromagnetik yang secara arbitrarinya kurang daripada 3000GHz yang dirambatkan di angkasa tanpa panduan artifisal ;
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
" GMDSS " ertinya Sistem Kecemasan dan Keselamatan Maritim Global yang dibuat dan ditubuhkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa ;
" kelengkapan komunikasi " ertinya apa-apa kemudahan rangkaian atau kelengkapan pelanggan ;
" Konvensyen Telekomunikasi Antarabangsa " ertinya Perlembagaan dan Konvensyen Pertubuhan Telekomunikasi bagi Pertubuhan Telekomunikasi Antarabangsa yang ditandatangani di Geneva dalam tahun 1992 berhubung dengan telekomunikasi dan termasuklah apa-apa perlembagaan atau konvensyen yang berikutnya, yang baginya Kerajaan ialah suatu pihak dan ia meliputi apa-apa peraturan-peraturan radiokomunikasi yang dibuat di bawah Perlembagaan atau Konvensyen itu; dan jika apa-apa pindaan kepada Perlembagaan dan Konvensyen itu mula berkuat kuasa berkenaan dengan Malaysia, pindaan itu hendaklah ditafsirkan sebagai Perlembagaan dan Konvensyen itu sebagaimana yang dipinda ;
" kumpulan kod " ertinya suatu siri bagi ---
(a) aksara yang terdiri daripada huruf, huruf yang diaksenkan, tanda baca atau gabungannya ; dan
(b) angka termasuk bar pecahan atau tanda perpuluhan ;
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
" pembekal " ertinya ---
(a) pengilang atau pengimport kelengkapan komunikasi ; atau
(b) ejen pengilang atau pengimport kelengkapan komunikasi yang dibenarkan,
yang memegang suatu perakuan pematuhan di bawah Peraturan-Peraturan ini ;
" perkataan ", berhubung dengan Bahagian IV, ertinya bagi maksud menghitung dalam bahasa mudah dan bahagian kumpulan kod bagi peperiksaan Kod Morse antarabangsa, unit pengukuran yang terdiri daripada huruf, huruf yang diaksenkan, angka dan tanda baca yang dikira pada kadar lima aksara bagi satu perkataan dengan huruf dikira sebagai satu aksara setiap satu dan huruf yang diaksenkan, angka dan tanda baca dikira sebagai dua aksara setiap satu ;
" program pemerakuan " ertinya suatu program termasuk proses atau tata caranya, untuk memperakukan kelengkapan komunikasi atau orang;
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
" radas gelombang cahaya " ertinya apa-apa radas yang menghendaki kanta optik atau permukaan optik untuk beroperasi ;
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
" radiokomunikasi " ertinya komunikasi dengan cara gelombang radio ;
" standard " ertinya standard teknik atau ujian kecekapan yang terpakai termasuk proses dan tata cara, sama ada yang dinyatakan dalam standard semasa, standard mandatori, kod teknik atau standard Malaysia dan yang ditubuhkan bagi maksud memastikan tahap kecekapan orang dan keselamatan, tahap tanpa gangguan, tahap prestasi dan kesalingbolehkendalian bagi apa-apa kelengkapan komunikasi ;
[Pin. P.U. (A) 261/2001]
" standard Malaysia " ertinya suatu standard yang diisytiharkan sebagai suatu standard spesifikasi atau suatu standard spesifikasi sementara di bawah Akta Standard Malaysia 1996 [ Akta 549] ;
[Gan. P.U. (A) 261/2001]
" standard semasa " ertinya standard yang berkaitan dengan hal perkara Peraturan-Peraturan ini yang lazim diikut pada masa mula berkuat kuasa Peraturan-Peraturan ini.