P.U. (A) 126/2000 PERINTAH KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA (SPEKTRUM) (PENGECUALIAN) 2000
Perintah 2. Tafsiran
(1) Dalam perintah ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain---
"peranti keselamatan" ertinya suatu peranti yang digunakan secara khusus untuk aplikasi keselamatan pengguna dan digunakan untuk mengawal secara jauh, menyiasat dan memuatturunkan maklumat, atau mengesan objek melalui kaedah pemancaran radio kuasa rendah;
"peranti pengguna kawalan jauh" ertinya suatu peranti yang digunakan sekali-sekala untuk mengawal secara jauh, melalui kaedah pemancaran radio kuasa rendah, peranti pengguna termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pintu, penyaman udara, pintu pagar, kunci, kelengkapan video, kamera dan mainan kawalan jauh;
"peranti telemetri perubatan dan biologi" ertinya suatu peranti kuasa rendah yang digunakan bagi telemetri perubatan dan biologi;
"sistem mikrofon wayarles" ertinya suatu sistem kuasa rendah sehala yang memberikan penyambungan sekali-sekala antara suatu mikrofon dan suatu penguat audio bagi maksud membolehkan audio yang ditangkap melalui mikrofon dikuatkan dengan penguat;
"telefon tanpa kord" ertinya kelengkapan pelanggan kuasa rendah dua hala yang memberikan atau boleh memberikan suatu ruang hubung kait bergerak atau mudah alih kepada perkhidmatan rangkaian melalui penyambungan radio kepada suatu stesen pangkalan tempatan yang disambung secara terus kepada sistem pangkalan tempatan yang disambung secara terus kepada perkhidmatan rangkaian awam.
(2) Tertakluk kepada subperenggan (1), semua istilah yang bersifat teknikal sepenuhnya hendaklah mempunyai erti yang sama dalam Konvensyen Telekomunikasi Antarabangsa.
(3) Bagi maksud subperenggan (2), "Konvensyen Telekomunikasi Antarabangsa" ertinya Perlembagaan dan Konvensyen Pertubuhan Telekomunikasi Antarabangsa bagi Pertubuhan Telekomunikasi Antarabangsa yang ditandatangani di Geneva dalam tahun 1992 berhubung dengan telekomunikasi dan termasuklah apa-apa perlembagaan atau konvensyen yang berikutnya, yang baginya kerajaan ialah suatu pihak dan ia meliputi apa-apa peraturan-peraturan radiokomunikasi yang dibuat di bawah perlembagaan atau konvensyen itu; dan jika apa-apa pindaan kepada Perlembagaan dan Konvensyen itu mula berkuat kuasa berkenaan Malaysia, ia hendaklah ditafsirkan sebagai Perlembagaan dan Konvensyen sebagaimana yang dipinda.