Apabila ternyata kepada seseorang pegawai yang diberi kuasa di bawah seksyen 41 bahawa terdapat alasan-alasan munasabah untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan terhadap Akta ini sedang dilakukan atau akan dilakukan dan bahawa apa-apa barang berkenaan dengan kesalahan itu adalah disembunyikan atau didepositkan dalam atau atas mana-mana pengangkutan, rumah kediaman, kedai atau bangunan atau tempat lain berlanggaran dengan sesuatu peruntukan Akta ini, pegawai tersebut boleh, jika dia mempunyai alasan-alasan baik bagi mempercayai bahawa oleh sebab apa-apa kelengahan untuk mendapatkan waran geledah, barang-barang itu berkemungkinan dialihkan—
(a) menghentikan dan memeriksa pengangkutan itu atau memasuki rumah kediaman, kedai atau bangunan atau tempat lain itu dan di sana menggeledah dan mengambil pemilikan mana-mana barang sedemikian yang semunasabahnya disyaki melanggar sesuatu peruntukan Akta ini dan mana-mana barang lain yang semunasabahnya dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu; atau
(b) menangkap tanpa waran mana-mana orang atau orang-orang yang berada, atau semunasabahnya disyaki telah berada, dalam pengangkutan, rumah kediaman, kedai, bangunan atau tempat tersebut atau yang dalam pemilikannya barang-barang sedemikian seperti yang disebut terdahulu itu dijumpai atau orang atau orang-orang yang pegawai itu semunasabahnya mengesyaki telah menyembunyikan atau mendepositkan barang-barang sedemikian dan boleh memeriksa diri mana-mana orang yang ditangkap sedemikian, dengan syarat bahawa tiada orang perempuan boleh diperiksa dirinya kecuali oleh seseorang perempuan lain. Tiap-tiap orang yang ditangkap itu hendaklah, bersama dengan mana-mana barang yang mengenainya suatu kesalahan mungkin telah dilakukan atau cuba dilakukan, dibawa ke stesen polis.