AKTA 465
AKTA PERKHIDMATAN POS 1991

BAHAGIAN X - PENYIASATAN DAN PENDAKWAAN




Seksyen 41. Kuasa penguatkuasaan.

(1) Menteri boleh secara bertulis memberi kuasa mana-mana pegawai awam atau pegawai Suruhanjaya untuk menjalankan kuasa penguatkuasaan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya.

(2) Mana-mana pegawai yang sedemikian hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574].

(3) Pada menjalankan mana-mana kuasa penguatkuasaan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya, seseorang pegawai yang diberi kuasa di bawah subseksyen (1) hendaklah, apabila diminta, menunjukkan kepada orang yang terhadapnya dia bertindak kuasa yang dikeluarkan kepadanya oleh Menteri.

(4) Walau apa pun subseksyen (1), mana-mana pegawai polis yang pangkatnya tidak rendah daripada Inspektor hendaklah mempunyai dan boleh menjalankan kuasa penguatkuasaan yang diberikan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya kepada seseorang pegawai yang diberi kuasa di bawah subseksyen (1).

(5) Pada menjalankan mana-mana kuasa penguatkuasaan yang diberikan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya kepada seseorang pegawai polis yang pangkatnya tidak rendah daripada Inspektor, pegawai polis itu, jika tidak berpakaian seragam, hendaklah apabila diminta, menyatakan jawatannya dan menunjukkan kepada orang yang terhadapnya dia bertindak kad kuasa sebagaimana yang diarahkan oleh Ketua Polis Negara supaya dibawa oleh pegawai polis itu.

[Gan. Akta A1120.]





Copyright © 2005 PNMB-LawNet. All rights reserved.