Seksyen 40. Kuasa Pengerusi Suruhanjaya untuk mengkompaun kesalahan.
(1) Pengerusi Suruhanjaya boleh, dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya, mengkompaun apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana orang di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya dan yang ditetapkan oleh Menteri sebagai suatu kesalahan boleh kompaun melalui kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini dengan membuat suatu tawaran secara bertulis kepada orang yang disyaki telah melakukan kesalahan itu untuk mengkompaun kesalahan itu dengan membayar kepada Pengerusi suatu amaun wang yang tidak melebihi lima puluh peratus daripada amaun maksimum denda bagi kesalahan itu dalam masa yang dinyatakan dalam tawaran itu.
(2) Suatu tawaran di bawah subseksyen (1) boleh dibuat pada bila-bila masa selepas kesalahan itu dilakukan, tetapi sebelum apa-apa pendakwaan baginya dimulakan, dan jika amaun yang dinyatakan dalam tawaran itu tidak dibayar dalam masa yang dinyatakan dalam tawaran itu atau dalam apa-apa tempoh lanjutan yang diberikan oleh Pengerusi, pendakwaan bagi kesalahan itu boleh dimulakan pada bila-bila masa selepas itu terhadap orang yang kepadanya tawaran itu dibuat.
(3) Jika suatu kesalahan telah dikompaun di bawah subseksyen (1), tiada pendakwaan boleh dimulakan berkenaan dengan kesalahan itu terhadap orang yang kepadanya tawaran untuk mengkompaun itu dibuat dan apa-apa benda yang disita berkaitan dengan kesalahan itu boleh dilepaskan atau dilucuthakkan oleh Pengerusi, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkan patut olehnya.
(4) Semua jumlah wang yang diterima oleh Pengerusi di bawah seksyen ini hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.