Seksyen 34. Larangan terhadap notis palsu mengenai penerimaan surat.
Mana-mana orang yang, tanpa kuasa daripada Suruhanjaya, meletakkan atau menyenggarakan dalam atau pada mana-mana rumah, dinding, pintu, tingkap, peti, tiang, atau tempat lain, yang kepunyaannya atau di bawah kawalannya, mana-mana perkataan, huruf, atau tanda yang berikut:
(a) perkataan-perkataan "pejabat pos";
(b) perkataan-perkataan "peti surat", yang disertai dengan perkataan-perkataan, huruf-huruf, atau tanda-tanda, yang menandakan atau membayangkan atau boleh semunasabahnya mempengaruhi orang awam untuk mempercayai bahawa ia adalah suatu peti surat pejabat pos; atau
(c) apa-apa perkataan, huruf, atau tanda yang menandakan atau membayangkan atau boleh semunasabahnya mempengaruhi orang awam untuk mempercayai bahawa mana-mana rumah atau tempat adalah suatu pejabat pos, atau bahawa mana-mana peti adalah suatu peti surat pejabat pos,
adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit, dan, jika kesalahan itu diteruskan selepas suatu sabitan terdahulu, boleh didenda tidak melebihi satu ratus ringgit bagi tiap-tiap hari selama kesalahan itu berterusan sedemikian.