BAHAGIAN VI - SYARAT-SYARAT PENYALURAN BARANG-BARANG POS
Seksyen 21. Pelupusan barang-barang pos yang ditahan di bawah Akta ini.
(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, jika mana-mana barang pos yang dibuka atau diperiksa di bawah Akta ini adalah didapati berlanggaran dengan, atau telah diposkan berlanggaran dengan, Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya atau mana-mana undang-undang bertulis lain, Suruhanjaya atau mana-mana pegawai diberikuasa boleh mengarahkan bahawa barang pos itu hendaklah dikembalikan kepada pengirim atau dihantarkan kepada tempat yang ditujukan, dalam setiap hal dengan dikenakan apa-apa bayaran pos tambahan (jika ada) sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri melainkan jika diperlakukan selainnya di bawah subseksyen (2), (3), (4) atau (5).
(2) Mana-mana barang pos yang dikirim melalui pos berlanggaran dengan seksyen 17 boleh, di bawah arahan Suruhanjaya atau mana-mana pegawai diberikuasa, dilucuthakkan dan dimusnahkan.
(3) Mana-mana barang pos yang dikirim melalui pos berlanggaran dengan perenggan 18(a), (b), (d) atau (e) boleh, di bawah arahan Suruhanjaya atau mana-mana pegawai diberikuasa, dimusnahkan atau dikembalikan kepada pengirim.
(4) Mana-mana barang pos yang dikirim melalui pos berlanggaran dengan perenggan 18(c) hendaklah diperlakukan sebagaimana yang diarahkan oleh Suruhanjaya.
(5) Walau apa pun apa-apa peruntukan dalam mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, jika mana-mana barang pos yang dibuka di bawah Akta ini adalah didapati berlanggaran dengan Akta Kastam 1967 [Akta 235], ia hendaklah dihulurkan kepada Jabatan Kastam untuk diperlakukan mengikut Akta itu.
(6) Tiap-tiap barang pos yang dibuka di bawah Akta ini dan didapati mengandungi apa-apa kandungan yang bernilai atau boleh dijual hendaklah, bersama dengan isi kandungannya, disimpan dengan selamat sementara menunggu pelupusannya di bawah seksyen ini, dan suatu senarai mana-mana barang pos sedemikian bersama dengan suatu memorandum tentang isi kandungannya hendaklah dibuat dan disimpan.
(7) Penahanan, pemusnahan atau pelupusan di bawah Akta ini akan sesuatu barang pos atau kandungannya tidaklah melepaskan mana-mana orang daripada liabiliti bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain.