BAHAGIAN VI - SYARAT-SYARAT PENYALURAN BARANG-BARANG POS
Seksyen 17. Penyaluran melalui pos akan apa-apa benda yang mencederakan, dsb., dilarang.
(1) Tiada seorang pun boleh mengirim melalui pos apa-apa barang atau benda yang berkemungkinan mencederakan mana-mana orang atau apa-apa barang pos dalam masa penyaluran melalui pos.
(2) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini dan tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang ditetapkan, tiada seorang pun boleh mengirim melalui pos apa-apa bahan letupan, bahan mudah terbakar, berbahaya, kotor, memudaratkan atau merosakkan, apa-apa alatan tajam yang tidak dilindungi dengan sepatutnya, atau apa-apa makhluk hidup yang sama ada memudaratkan atau berkemungkinan mencederakan mana-mana orang atau apa-apa barang pos dalam masa penyaluran melalui pos.
(3) Kecuali di bawah kaedah-kaedah sebagaimana yang dibuat oleh Menteri bagi maksud ini, tiada seorang pun boleh mengirim melalui pos, candu, morfin, kokain atau apa-apa narkotik.
(4) Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh menyentuh peruntukan mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan dadah yang merosakkan.