BAHAGIAN VI - SYARAT-SYARAT PENYALURAN BARANG-BARANG POS
Seksyen 16. Kuasa untuk membuat kaedah-kaedah mengenai penyaluran melalui pos akan barang-barang pos.
(1) Menteri boleh membuat kaedah-kaedah mengenai penyaluran melalui pos akan barang-barang pos.
(2) Secara khususnya dan tanpa menjejaskan keluasan kuasa yang tersebut di atas, kaedah-kaedah itu boleh—
(a) mengadakan peruntukan bagi pelaksanaan perkhidmatan tambahan berkenaan dengan penyaluran melalui pos akan barang-barang pos;
(b) menetapkan caj atau fee khas yang akan dikenakan bagi perkhidmatan tambahan yang diadakan;
(c) menghendaki empunya atau penghuni mana-mana premis untuk mengadakan, pada atau berdampingan dengan premis itu atau perkarangannya, peti daripada apa-apa perihalan sebagaimana yang dinyatakan bagi penerimaan barang-barang pos yang menyatakan alamat premis itu;
(d) melarang penyaluran melalui pos akan barang-barang pos yang tidak dinyatakan dalam seksyen 17 atau 18 atau menetapkan syarat-syarat khas yang mengikutnya barang-barang, yang tidak dinyatakan dalam seksyen 17 atau 18, boleh disalurkan melalui pos;
(e) mengadakan peruntukan bagi pembayaran pampasan bagi kehilangan atau kerosakan dalam masa penyaluran melalui pos akan barang-barang pos, dan syarat-syarat yang mengikutnya pampasan itu boleh dibayar dan had amaun pampasan itu.
(3) Bagi maksud-maksud seksyen ini, perkhidmatan tambahan termasuklah pendaftaran, insurans dan penyimpanan barang-barang pos, Poste Restante dan apa-apa bentuk perkhidmatan tambahan yang lain.