BAHAGIAN III - KEISTIMEWAAN DAN PERLINDUNGAN BAGI KERAJAAN
Seksyen 8. Keistimewaan eksklusif Kerajaan.
(1) Kerajaan hendaklah mempunyai keistimewaan eksklusif bagi—
(a) mengangkut melalui pos dari satu tempat ke tempat yang lain, sama ada melalui darat, atau melalui laut atau melalui udara, semua surat;
(b) melaksanakan segala perkhidmatan sampingan bagi menerima, memungut, mengirim, menghantar dan menyerahkan semua surat, kecuali surat yang termasuk dalam mana-mana kategori berikut, iaitu:
(A) pengumuman perdagangan, pekeliling, cabutan bercetak daripada akhbar, atau iklan, yang tidak dialamatkan kepada mana-mana orang;
(B) surat yang diserahkan oleh seorang pekerja pengirim itu;
(C) surat yang diserahkan oleh seorang utusan yang digunakhidmat oleh pengirim itu khas bagi maksud itu, yang bukannya seorang yang bekerja atau bertugas dalam perjalanan urusan atau pekerjaannya dalam menyerahkan atau memperolehi serahan surat;
(D) surat yang melebihi dua kilogram beratnya setiap surat;
(E) surat berkenaan dengan barangan yang dikirim dengan barangan itu dan diserahkan dengannya;
(F) surat yang dibawa ke atau dari sesuatu pejabat pos;
(G) surat yang dibawa mengikut sesuatu perjanjian yang dibuat oleh pemegang lesen;
(H) pertukaran di antara tempat-tempat pertukaran dokumen;
(I) surat yang dibawa ke premis seseorang yang mengadakan perkhidmatan mel elektronik bagi maksud supaya surat itu disalurkan sebagai mel elektronik, atau surat yang dibawa dari premis seseorang yang demikian selepas disalurkan sedemikian;
(J) surat yang dibawa dan diserahkan oleh seorang kawan peribadi tanpa upah, hadiah atau keuntungan lain;
(K) surat yang dibawa dan diserahkan sendiri oleh pengirim.
(2) Jika apa-apa soalan timbul mengenai sama ada atau tidak mana-mana barang pos adalah suatu surat mengikut pengertian Akta ini, keputusan Suruhanjaya mengenainya adalah muktamad.